TELEKOM Malaysia Berhad (TM) catatkan peningkatan hasil sebanyak 3.8 peratus kepada RM2.69 bilion pada suku ketiga 2020.
TELEKOM Malaysia Berhad (TM) catatkan peningkatan hasil sebanyak 3.8 peratus kepada RM2.69 bilion pada suku ketiga 2020.

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 3.8 peratus kepada RM2.69 bilion pada suku ketiga 2020 (3Q2020) berbanding RM2.59 bilion yang dicatatkan pada 2Q2020.

Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai (Ebit) meningkat 7.0 peratus kepada RM456.2 juta daripada RM426.3 juta pada 2Q2020.

Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (Patami) pula meningkat 19.9 peratus QoQ kepada RM329.5 juta berbanding RM274.7 juta.

Jumlah perbelanjaan modal (capex) bagi 3Q2020 dicatatkan pada 14.9 peratus daripada hasil atau RM400.0 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, unifi terus menerajui konvergens dengan pertumbuhan dalam segmen jalur lebar dan mudah alih dengan penembusan konvergens isi rumah TM tertinggi pada kadar 58 peratus.

"Sukacita kami melaporkan satu lagi suku tahun yang menunjukkan pertumbuhan merentas semua petunjuk kewangan utama – hasil dan keuntungan – biarpun dalam persekitaran yang mencabar pada Q3.

"Usaha pengoptimuman kos kami terus memberikan hasil dengan Ebit yang

baik dan Patami yang kukuh.

"Dalam kita memasuki bulan ke sembilan pandemik Covid-19, keselamatan dan kesihatan warga TM tetap menjadi keutamaan kami sambil kami terus menyampaikan kecemerlangan sambungan dan penyelesaian kepada semua pelanggan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihaknya menyaksikan unifi memperoleh momentum dengan mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus kepada 1.65 juta pelanggan, di mana pelanggan jalur lebar TM ketika ini berjumlah 2.26 juta.

"Kami mencatatkan penembusan konvergens tertinggi dalam isi rumah TM sejak 2018 iaitu pada kadar 58 peratus apabila semakin ramai rakyat Malaysia mengamalkan kehidupan bekerja secara digital dalam norma baharu ini," katanya.

"Dalam segmen borong, kami terus berkolaborasi dengan pemain-pemain industri di Malaysia dan peringkat global," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan komited dalam meningkatkan capaian sambungan menerusi Jalinan Digital Negara (Jendela) dan memacu ekonomi digital dengan kolaborasi bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Mdec) yang diumumkan baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:58 AM