FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Jualan 11.11 yang berlangsung hari ini menyaksikan Malaysia berada di kedudukan keempat negara utama membeli produk dari China.

Berdasarkan laporan Alibaba Group, Malaysia berada di belakang Amerika Syarikat, Rusia dan Perancis.

Hasil laporan itu, ia secara tidak langsung membuktikan pengguna di Malaysia aktif membuat pembelian secara dalam talian dan tidak melepaskan peluang mendapatkan tawaran hebat sempena jualan 11.11.

ShopBack Malaysia mendapati, pengguna di Malaysia membeli-belah pada tarikh berkenaan seawal jam 12 tengah malam.

Tempoh puncak bagi pembelian dicatatkan pada jam 12 tengah malam hingga 1 pagi.

Pengurus Besar Negara, ShopBack Malaysia, Eddy Han berkata, berdasarkan data yang diperoleh, dalam tempoh sejam pertama, trafik meningkat sehingga 20 kali ganda berbanding hari biasa pada bulan ini.

"Berikutan pertambahan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini, produk Dettol juga mencatatkan peningkatan jualan sehingga 50 kali ganda dalam tempoh sejam pertama," katanya.

Pada jualan 11.11 tahun lalu, lebih RM20 juta nilai jualan berjaya dicatatkan melalui ShopBack Malaysia.

"Berdasarkan rekod yang dilihat setakat ini, kami yakin angka jualan tahun ini dapat mengatasi tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 5:09 PM