ANTARA produk keluaran Dutch Lady.
ANTARA produk keluaran Dutch Lady.

DUTCH Lady Milk Industries Bhd (Dutch Lady) meminta pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas minuman manis dan duti import produk tenusu dan produk berasaskan tenusu dalam Belanjawan 2021.

Pengecualian itu dijangka dapat menggalakkan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Syarikat tenusu terkemuka di Malaysia itu berkata, kerajaan juga harus sekurang-kurangnya menyelaraskan sektor itu dengan dasar kesihatan seperti inisiatif Logo Pilihan Lebih Sihat oleh Kementerian Kesihatan yang terus diperjuangkan Dutch Lady.

Logo Pilihan Lebih Sihat diberikan kepada produk makanan dan minuman yang memenuhi kriteria nutrien ditetapkan.

"Dutch Lady menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk memperkukuhkan langkah keselamatan makanan dalam memastikan Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menangani pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, ia berkata, peruntukan untuk memacu pelaburan semula di Malaysia untuk pelaburan langsung asing (FDI) adalah langkah yang disambut baik, selain memberikan peruntukan khas bagi membangunkan program bertujuan meningkatkan agenda keselamatan dan kesihatan makanan Malaysia untuk rakyat.

"Kami juga mencadangkan supaya insentif khas dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021 untuk kerjasama antara pihak swasta dan awam bagi membangunkan dan mengembangkan program kemampanan tenusu domestik, ia sudah pasti akan menyokong usaha untuk terus meningkatkan keselamatan makanan untuk negara kita," katanya.

Diperbadankan pada 1963, Dutch Lady dimiliki oleh salah satu syarikat koperasi tenusu terbesar di dunia, Royal FrieslandCampina NV, sebuah syarikat tenusu multinasional Belanda.

Belanjawan 2021 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 7:15 AM