TOYOTA Yaris. FOTO arkib NSTP
TOYOTA Yaris. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Segmen Automotif UMW Holdings Berhad dijangka dapat mencapai sasaran jualan bagi 2020 berikutan penjualan memberangsangkan UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu 38 peratus, Perodua pada Oktober 2020.

UMW Corporation Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, bahagian pasaran automotif Kumpulan UMW pada Oktober dianggarkan pada 58 peratus berbanding 51.4 peratus pada 2019.

Katanya, pengecualian cukai penjualan yang diumumkan kerajaan yang berkuat kuasa 15 Jun 2020 hingga 31 Disember 2020 mendorong untuk meningkatkan penjualan pada separuh kedua 2020.

UMWT mencatatkan jualan sebanyak 6,468 unit pada Oktober 2020 iaitu peningkatan sebanyak 15.4 peratus daripada 5,605 unit pada September.

Penyumbang utama adalah Toyota Vios, Yaris dan Hilux.

Dengan penjualan 43,807 unit bagi 10 bulan pertama 2020, UMWT dijangka dapat mencapai sasaran jualannya, iaitu 53,000 unit untuk tahun ini.

UMWT turut yakin dapat mengekalkan pasarannya dalam segmen hatchback Bukan Nasional susulan pelancaran Toyota Yaris yang dikemaskini pada 2 November lalu.

Sementara itu, Perodua sekali lagi memecahkan rekod penjualan bulanannya pada Oktober, dengan penjualan berdaftar kenderaan sebanyak 26,852 unit iaitu peningkatan 7.3 peratus daripada 25,035 unit yang dijual pada September 2020.

Untuk 10 bulan pertama 2020, Perodua mencatatkan penjualan sebanyak 171,864 unit, iaitu 81.8 peratus daripada sasaran jualan untuk menjual 210,000 unit untuk tahun ini.

Kedua-dua kilang pemasangan Perodua beroperasi dengan kapasiti pengeluaran hampir maksimum sejak Ogos untuk memenuhi permintaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, Kumpulan menunjukkan tahap pemulihan yang baik pada separuh kedua tahun ini

"Kami yakin bahawa momentum penjualan yang memberangsangkan ini akan berterusan hingga akhir tahun ini, untuk kami mencapai sasaran penjualan tahun ini," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 1:20 PM