GAMBAR hiasan. FOTO EPA
GAMBAR hiasan. FOTO EPA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) digesa bertindak tegas bagi memastikan agenda pembaharuan struktur seterusnya akan menyumbang kepada pembinaan daya tahan serantau terhadap krisis dan kejutan, selain menangani tanggungjawab sedia ada.

APEC dalam kajian terbaharu berkata, ekonomi anggotanya telah menunjukkan prestasi yang baik dalam bidang inovasi dan produktiviti merentasi pelbagai metrik merangkumi produktiviti buruh setiap individu bekerja.

"Bagaimanapun, lebih banyak usaha perlu dibuat bagi meningkatkan kerjasama universiti-industri dalam penyelidikan dan pembangunan serta anggota perlu mengembangkan akses penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial susulan pandemik Covid-19," kata laporan itu.

APEC mengeluarkan Agenda APEC yang Diperbaharui untuk Pembaharuan Struktur (RAASR) - Laporan Kajian Akhir, hari ini.

Sebagai inisiatif Jawatankuasa Ekonomi APEC, laporan kajian semula yang akhir ini telah dibuat oleh Unit Sokongan Dasar APEC untuk menilai kemajuan ekonomi anggota mengenai usaha pembaharuan struktur dan mencari jurang yang perlu dirapatkan bagi kerja-kerja masa depan.

Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Dr Denis Hew ketika mengulas mengenai laporan itu berkata, pembaharuan struktur akan menghapuskan halangan, yang kemudiannya meningkatkan akses kepada peluang kewangan, malah dapat membantu ekonomi mencapai trajektori pertumbuhan yang lebih tinggi.

"Dalam zaman ketidaktentuan ekonomi ini, penggubal dasar sering menggunakan pembaharuan struktur untuk menyokong pemulihan dan merancakkan pertumbuhan, ini amat relevan dan penting hari ini, memandangkan kerajaan di rantau ini sedang bergelut dengan krisis kesihatan dan ekonomi," katanya.

Menurut laporan itu lagi, APEC telah membuat beberapa kemajuan daripada segi peningkatan kecekapan pasaran buruhnya, menjadikan mereka lebih fleksibel dan tangkas.

"Namun, anggota perlu terus membuat penambahbaikan dalam bidang tertentu seperti upah pekerja dengan produktiviti yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, laporan itu turut menekankan keperluan APEC untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas dan infrastruktur serta menambah baik dasar fiskal dan sosial, dengan menyatakan terdapat kelainan prestasi dalam di kalangan anggota.

Keterangkuman adalah satu lagi bidang utama dalam memastikan daya tahan melalui pembaharuan struktur.

Laporan itu mengesyorkan agar anggota mengukuhkan kepentingan pendekatan holistik terhadap usaha pembaharuan struktur.

"Di atas usaha pembaharuan struktur teras, anggota perlu bekerja secara kolektif merentasi agensi bagi merangka dasar sokongan dalam bidang seperti pembangunan modal insan dan perlindungan sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 6:42 PM