GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyaksikan peningkatan 103 peratus pelanggannya melakukan urusan melalui portal dan aplikasi myTNB.

Lebih 4.6 juta akaun pelanggan juga didaftarkan sejak 13 Oktober 2020.

Jumlah akaun pendaftaran myTNB itu mencatatkan peningkatan memberangsangkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, 18 Mac lalu.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kemudahan untuk melakukan urusan pembayaran melalui portal dan aplikasi myTNB amat berguna ketika ini apabila beberapa negeri di Semenanjung berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Dengan itu, pelanggan tidak perlu bersusah-payah keluar dan beratur di kaunter atau kios untuk membayar bil elektrik mereka, lebih-lebih lagi sewaktu penularan semula wabak Covid-19 ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aplikasi myTNB sudah melalui pelbagai penambahbaikan dan pelanggan kini boleh memilih bahasa pengantaraan iaitu Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Aplikasi myTNB boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery manakala portal myTNB boleh dilayari di www.mytnb.com.my.

Lebih 600,000 pengguna Meter Pintar di Lembah Klang dan Melaka juga boleh memantau penggunaan elektrik secara harian melalui portal atau aplikasi myTNB, seterusnya memberi kuasa kepada pelanggan untuk mengurus penggunaan elektrik terutamanya ketika berada di rumah bagi mematuhi arahan PKPB.

Selain itu, 12 Oktober sehingga 9 Disember 2020, pelanggan yang membayar bil elektrik menerusi aplikasi myTNB berpeluang memenangi telefon pintar Huawei P40 Pro.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 1:39 PM