KERAJAAN melanjutkan Subsidi Upah 2.0 selama tiga bulan lagi hingga Disember 2020.
KERAJAAN melanjutkan Subsidi Upah 2.0 selama tiga bulan lagi hingga Disember 2020.

KERAJAAN dijangka mempertimbang untuk mengukuhkan bantuan tunai langsungnya kepada rakyat terutama selepas Belanjawan 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan kini dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengenai penambahbaikan kepada program subsidi upah berikutan pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk perbezaan upah yang sedia ada di Malaysia.

"Misalnya, Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) adalah untuk Perkeso dan pada masa sama, Program Subsidi Upah (Subsidi Upah 2.0) adalah daripada kerajaan dan ia berdasarkan pendekatan bersasar berdasarkan sektor tertentu," katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2020, semalam.

Sesi itu dikendalikan Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Tengku Zafrul menjawab soalan sama ada kerajaan akan mempertimbangkan langkah untuk mengukuhkan program respons krisis langsung yang sedia ada terutama pemberian Penjana, upah dan skim pembayaran kepada penstabil automatik yang sama dengan negara lain.

Langkah pengukuhan itu dijangka mengurangkan masa antara kehilangan pendapatan dan keyakinan dalam kalangan rakyat dan dalam masa sama, menyelaraskan pentadbiran dalam pelbagai jaringan keselamatan sosial.

Kerajaan melanjutkan Subsidi Upah 2.0 selama tiga bulan lagi hingga Disember 2020 untuk memberikan sokongan yang amat diperlukan bagi industri mengekalkan perniagaan mereka dan melindungi pekerjaan, selain membantu perniagaan menghadapi cabaran pemulihan pada separuh kedua tahun 2020, terutama dari segi jualan eksport dan domestik yang diunjurkan rendah.

Di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin), kerajaan melanjutkan Program Subsidi Upah 2.0 dengan peruntukan tambahan sebanyak RM2.4 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 1.3 juta pekerja.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Belanjawan 2021 memberi peluang yang tepat pada masanya bagi kerajaan mempertimbangkan dan menerima pakai pendekatan lebih mampan untuk mengembangkan ekonomi di samping membina daya tahan negara.

Katanya, pandemik Covid-19 masih menjadi satu ancaman kepada pemulihan, pembangunan dan pertumbuhan sosio-ekonomi masa depan Malaysia.

"Justeru, dalam melangkah ke hadapan, Malaysia akan kekal bertahan dan sebagaimana digitalisasi dipercepatkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran Covid-19 jadi, kita akan memanfaatkan peluang ini untuk mempertingkat rantaian nilai.

"Pada masa sama, kita akan menggunakan kelebihan lokasi geografi strategik kita, tenaga kerja yang cekap, pengurusan sumber berhemat, infrastruktur yang cemerlang di samping reputasi baik kita dalam sektor utama termasuk kewangan Islam dan ekonomi halal," katanya.

Tengku Zafrul berkata, sebagai sebahagian Strategi Pemulihan 6R kerajaan, Belanjawan 2021 menumpukan langkah menggiatkan semula ekonomi serta menyasarkan perlindungan kehidupan dan pendapatan, berasaskan momentum pemulihan semasa, dipacu menerusi pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 7:01 AM