KINI terdapat kira-kira 1,500 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia.
KINI terdapat kira-kira 1,500 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia.


Kuala Lumpur: Selepas berdekad menumpukan operasi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), syarikat Jepun kini mempelbagaikan pelaburan mereka ke bidang baharu yang, sekali gus membuktikan keyakinan mereka terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing pilihan utama mereka.

Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka berkata, syarikat baharu mula berkembang ke bidang baharu di negara ini dengan meneroka ke dalam sektor kesihatan, pembuatan peralatan perubatan, teknologi digital dan industri makanan halal.

"Syarikat Jepun mula datang ke Malaysia pada tahun 1970-an dan ketika trend meningkat dengan bermulanya Dasar Pandang Ke Timur pada era 1980-an, syarikat terkemuka Jepun seperti Toray, Hitachi, Sony dan Panasonic semua bergegas membuka operasi di Malaysia.

"Kini terdapat kira-kira 1,500 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia dan syarikat ini menyumbang kepada pengindustrian Malaysia. Kira-kira 40 peratus daripada eksport Malaysia adalah daripada sektor E&E dan sektor ini secara tradisinya adalah tumpuan utama pelaburan langsung daripada syarikat Jepun. Kami berkembang bersama-sama dengan pengindustrian Malaysia," katanya.

Satu daripada dimensi paling menarik daripada pelaburan Jepun di Malaysia adalah ketika seluruh industri mengalami kemorosotan serius akibat daripada pengurangan besar-besaran pekerja disebabkan pandemik Covid-19, syarikat Jepun berjaya mengekalkan kakitangan mereka berjumlah 340,000 orang dalam sektor pembuatan sahaja, sepanjang tempoh beberapa bulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Oka berkata, tahun lalu, Jepun adalah penyumbang terbesar pelaburan langsung asing di Malaysia yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan jumlah aliran pelaburan langsung ke negara ini.

"Ini mencerminkan sokongan perniagaan Jepun terhadap daya tarikan Malaysia dan menariknya, bidang pelaburan syarikat Jepun semakin dipelbagaikan," katanya.

Dalam sektor kesihatan, tahun lalu menyaksikan Mitsui, salah sebuah syarikat dagangan utama Jepun, membeli tambahan 16 peratus pegangan daripada rangkaian hospital global Malaysia, IHH Healthcare Berhad (IHH).

Manakala sebuah syarikat pembuatan peralatan perubatan Jepun yang menghasilkan peralatan perubatan kardiovaskular canggih di negara itu membuka kilang luar negara pertamanya di Malaysia untuk mengeksport balik produknya ke Jepun.

"Syarikat itu juga menimbang untuk mengeksport peralatan perubatan berkualiti tingginya ke pasaran Asia lain pada masa depan. Jadi, pembuatan peralatan perubatan adalah satu daripada bidang baharu bagi pelaburan Jepun di Malaysia," katanya.

Mengenai teknologi digital, sebuah syarikat pemula niaga ditubuhkan di Malaysia tahun ini untuk menyediakan perkhidmatan berasaskan data mobiliti bagi menambah baik kesedaran keselamatan pemanduan dan menyumbang kepada penyuraian kuantiti trafik dan mengurangkan kemalangan.

Sebuah lagi syarikat terkemuka, Hitachi juga menyediakan perkhidmatan penyelesaian berasaskan teknologi digital dan menjadikan Malaysia sebagai hab serantaunya bagi perkhidmatan ini untuk seluruh rantau Asean.

Mengenai industri halal, duta itu berkata, semakin banyak industri makanan Jepun tertarik dengan Malaysia kerana sijil halal yang dikeluarkan Malaysia dianggap sebagai sangat boleh dipercayai di peringkat global.

"Jadi, mereka menjadikan Malaysia sebagai pusat sehentinya sebelum menembusi pasaran Islam dan Timur Tengah dengan produk makanan mereka yang memiliki sijil halal Malaysia," kata Oka.

Satu lagi bidang baharu bagi pelaburan syarikat Jepun di Malaysia adalah industri pesawat.

"Di Asean, kami menimbang untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta Jepun dalam industri pesawat di Malaysia berikutan potensi tingginya. Ini contoh usaha kerajaan Jepun untuk mendorongkan lagi syarikat Jepun datang ke Malaysia bagi menjalin kolaborasi perniagaan dengan syarikat Malaysia menerusi pelaburan," katanya.

Mengenai pandemik Covid-19, beliau berkata, ia tidak menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi bagi perniagaan Jepun.

"Sebaliknya, berdasarkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi bagi perniagaan Jepun, kami sebagai kerajaan menyokong perniagaan Jepun untuk meningkatkan lagi komitmen mereka kepada Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 6:58 AM