DR Wan Junaidi (tengah), bersama Abd Rani  (dua dari  kiri) dan wakil Bank Pelaburan memukul rebana sebagai tanda pelancaran, semalam.
DR Wan Junaidi (tengah), bersama Abd Rani (dua dari kiri) dan wakil Bank Pelaburan memukul rebana sebagai tanda pelancaran, semalam.
Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: Bank Rakyat menerbitkan Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion bagi tempoh 30 tahun, sekali gus membolehkannya memperoleh dana jangka panjang dengan kadar tetap.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, penerbitan pertama sukuk itu dijangka akan bermula dalam waktu terdekat dengan saiz terbitan sebanyak RM500 juta dengan penilaian untuk meningkatkan terbitan.

Katanya, bagi terbitan pertama itu, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank dan RHB Investment Bank Bhd dilantik sebagai pengurus utama bersama.

"Sukuk ini adalah dana jangka panjang dan sebagai permulaan kami menyasarkan terbitan antara RM500 juta hingga RM1 bilion bergantung kepada permintaan.

"Kami yakin dengan keadaan pasaran sekarang terbitan sukuk ini, menjadikan portfolio liabiliti kita lebih pelbagai dan bank akan menjadi lebih stabil," katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian program sukuk itu di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar: Ketua Setiausaha Medac yang juga Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Abd Rani Lebai Jaafar.

Terbitan sukuk itu akan dilaksanakan melalui syarikat tujuan khas, Imtiaz Sukuk II Bhd sementara Maybank Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat prinsipal dan pengatur utama bagi program sukuk itu.

Program sukuk itu distruktur berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar yang dipersetujui oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia diberikan penarafan AA2(s) oleh RAM Rating Bhd.

Rosman berkata, selain membolehkan Bank Rakyat memperoleh pendanaan jangka panjang pada kadar tetap, terbitan sukuk itu juga untuk mempelbagaikan komposisi pendanaan jangka panjang bank berkenaan.

Beliau berkata, program itu akan mengurangkan kebergantungan bank kepada pendeposit korporat.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, dalam persekitaran landskap ekonomi yang mencabar, perkembangan sukuk penting sebagai alternatif bagi pembangunan sesebuah ekonomi.

"Sukuk banyak menyumbang kepada peningkatan keberkesanan pengagihan dana dalam sistem kewangan. negara serta antarabangsa.

"Pasaran sukuk sebagai sumber pembiayaan ketara bagi projek pelaburan skala besar berperanan penting dalam memudahkan proses pembangunan ekonomi.

"Ini terbukti apabila sukuk menyumbang 70 peratus daripada penerbitan bon korporat di negara ini sejak 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 9:00 AM