PENGARANG Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kiri) menerima cenderamata daripada Abd Rahman. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGARANG Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kiri) menerima cenderamata daripada Abd Rahman. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Murnaena Muhammad Nasir
am@hmetro.com.my


KEDAI Ayamas, jenama halal yang dipercayai sejak 30 tahun menyasarkan peningkatan 15 peratus daripada keseluruhan hasil jualan menerusi produk terbarunya, ayam panggang telur asin sepanjang tempoh promosi bermula 18 Ogos hingga 20 September ini.

Pengarahnya, Abd Rahman Md Dawi berkata, Kedai Ayamas yang terkenal dengan produk ayam panggang buat julung kalinya memperkenalkan gabungan resepi ayam panggang bersama telur asin.

Katanya, unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengambil tempoh dua bulan untuk menghasilkan produk berkenaan memandangkan ia perlu menjalani pelbagai ujian, kajian dan penyelidikan dari segi resepi dan rasanya.

"Sebelum ini produk ayam panggang pedas Korea yang dilancarkan pada Julai terdahulu menerima sambutan hangat sepanjang 34 hari promosinya.

"Sepanjang tempoh promosi itu didapati 15 peratus daripada keseluruhan hasil jualan disumbangkan melalui produk berkenaan dan kami menyasarkan produk kali ini akan mengekalkan pencapaian itu atau lebih baik," katanya ketika mengadakan lawatan di Balai Berita di Kuala Lumpur, hari ini.

Sehingga kini terdapat 58 cawangan Kedai Ayamas di seluruh negara iaitu 50 daripadanya berkonsepkan kedai sepenuhnya yang menjual ayam panggang, ayam segar, produk sejuk beku dan bahan masakan manakala selebihnya adalah kiosk.

"Pelanggan boleh datang ke semua cawangan Kedai Ayamas berhampiran untuk menikmati menu unik ini atau bawa pulang mulai hari ini selagi stok masih ada.

"Harga Ayam Panggang Telur Asin ini bermula dari RM9.50 hingga RM29.90. Disamping itu, ia juga disajikan dalam tiga pilihan set kombo yang berbeza.

"Selain menu ayam panggang, kiosk kami juga menyediakan pelbagai variasi menu lain antaranya nasi ayam panggang, kari laksa termasuk hidangan ringan dan masakan barat," katanya.

Abdul Rahman berkata, melalui program Franchise Kedai Ayamas, syarikatnya merancang membuka lebih banyak cawangan dalam tiga tahun akan datang.

Kedai Ayamas dikendalikan Ayamas Shoppe Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh Johor Corporation (JCORP) melalui anak syarikatnya KARA Holdings Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 6:53 PM