Dr Mohd Yusof Saari
Dr Mohd Yusof Saari
Sri Ayu Kartika Amri


PERTUMBUHAN ekonomi untuk suku ketiga dan keempat dijangka lebih baik dengan angka pertumbuhan positif jika operasi aktiviti ekonomi kekal seperti sedia kala dan wabak Covid-19 dapat dikawal.

Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, ini mengambil kira impak ke atas ekonomi hasil suntikan perbelanjaan melalui pakej Prihatin dan Penjana.

"Memang benar ekonomi Malaysia melonjak ke arah pemulihan.

"Pertumbuhan ekonomi suku pertama 2020 2.0 peratus berbanding sukuan keempat 2019.

"Manakala pertumbuhan suku kedua 2020 walaupun negatif, tetapi lebih rendah berbanding suku pertama 2020 iaitu pada kadar jangkaan -1.8 peratus.

"Di samping itu, kadar pengangguran berkurangan pada Jun lalu juga jelas menunjukkan pemulihan ekonomi sedang berlaku," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, indikator guna tenaga dan pengangguran boleh digunakan sebagai petunjuk utama kepada pertumbuhan ekonomi yang diukur berasaskan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Dr Mohd Yusof berkata, suku pertama (Januari hingga Mac) menunjukkan pengurangan penciptaan guna tenaga sebanyak 53,600 orang akibat daripada kehilangan pekerjaan yang ketara Mac lalu.

"Situasi suku kedua (April hingga Jun) bertambah buruk dengan pengurangan guna tenaga 242,000 orang akibat daripada kehilangan pekerjaan yang ketara pada April.

"Bagaimanapun, kadar kehilangan pekerjaan di antara bulan April dan Mei menunjukkan pengurangan dan akhirnya mencatat pertambahan peluang pekerjaan pada Jun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 7:10 AM