KETUA Pegawai Eksekutif CU International, Ten Yee Lim (tengah) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Samantha Koh (dua dari kanan) melancarkan aplikasi CU Rewards.
KETUA Pegawai Eksekutif CU International, Ten Yee Lim (tengah) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Samantha Koh (dua dari kanan) melancarkan aplikasi CU Rewards.
Oleh Suliati Asri


PEMBELIAN dan penjualan barangan secara dalam talian kini menjadi trend pengguna termasuk pedagang bukan saja di negara ini malah di seluruh dunia.

Pandemik Covid-19 yang menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan urus niaga melalui platform e-dagang menjadi norma baharu yang semakin dipraktikkan dalam kehidupan harian.

Justeru, bagi merancakkan lagi urus niaga e-dagang ini, CU International melancarkan Platform E-dagang Antarabangsa CU Rewards, sekali gus menyaksikan aplikasi CU Rewards ini memasuki trend globalisasi secara rasmi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Consumption Union Global Technology Sdn Bhd, Samantha Koh berkata, CU Rewards adalah platform e-dagang inovatif yang terbabit dalam pengoperasian sumber penggunaan.

Menurutnya, melalui model ganjaran penggunaan subversif, apabila transaksi antara pengguna dan pedagang berlaku, pengguna memperoleh pulangan tunai yang berbentuk mata ganjaran gift points hingga 100 peratus, sekali gus merealisasikan konsep wang dibelanjakan kembali ke poket pengguna.

"Dengan tagline 'bijak berbelanja, pulangan bahagia' misi kita menjadi pencipta peraturan dan model perniagaan inovatif untuk mewujudkan perniagaan yang menawarkan 'ganjaran penggunaan' rentas sempadan di era baharu.

"Model ganjaran pengguna ini juga sudah membuktikan ia mampu mengurangkan beban masyarakat di mana setiap mereka yang dapat berbelanja, berani berbelanja dan sanggup berbelanja secara aktif dapat mengurangkan kemiskinan dan menjadi teladan pembasmian kemiskinan," katanya pada sidang media sebelum majlis pelancaran Platform e-dagang Antarabangsa CU Rewards, baru-baru ini.

Aplikasi mudah alih CU Rewards yang baharu ini adalah platform e-perdagangan antarabangsa yang dibina dari perspektif antarabangsa dan memperluas model 'ganjaran penggunaan' khasnya dalam merangsang pengguna menyokong urusan niaga perniagaan dalam dan luar talian serta mengintegrasikan ekosistem pembayaran perdagangan global.

Dengan pelancaran rasmi aplikasi baru CU Rewards, fungsi dan ciri barunya ditambah baik supaya lebih lancar dan menarik.

Pencarian peniaga dan produk berdekatan, carian lebih mudah dan pintar, pedagang dapat menggunakan telefon bimbit menyenaraikan produk mereka secara langsung serta penghantaran notifikasi untuk sebarang mesej baharu dan kemajuan transaksi perdagangan yang ditawarkan melalui aplikasi baharu ini.

Koh berkata, pandemik Covid-19 membawa e-perdagangan 10 tahun ke hadapan, sekali gus menuntut pedagang untuk turut sama memajukan diri.

"Semua sedar akan kepentingan e-dagang ini, tetapi bagi peniaga tradisional mereka pastinya berhadapan dengan pelbagai kesukaran dalam proses peralihan dari luar talian ke dalam talian.

"Justeru, CU Rewards komited memberikan peluang kepada peniaga tradisional untuk beralih kepada e-dagang dengan cara yang mudah dan mengendalikan perniagaan dalam talian dan luar talian dengan lancar, sekali gus menjadikan model perniagaan dalam talian ke luar talian (O2O) yang berjaya.

"Model ini juga membantu perniagaan dalam talian dan luar talian untuk menarik pelanggan baru selain meningkatkan prestasi jualan daripada pangkalan pengguna CU Rewards yang luas," katanya.

Menurutnya, melalui CU Rewards ini juga, pihaknya ingin membantu pedagang Malaysia memasarkan produk masing-masing sama ada melalui dalam talian atau luar talian.

"Kebanyakan penjual di platform e-dagang tidak membeli barangan buatan Malaysia sebaliknya barangan negara asing.

"Walaupun barang yang dijual murah, tanpa disedari sebenarnya kita tidak membantu ekonomi negara kerana duit yang dibelanjakan itu mengalir ke luar.

"Justeru, semua peniaga yang ingin memasarkan barangan di CU Rewards ini perlu mempunyai Sijil Pendaftaran Perniagaan Malaysia (SSM), sekali gus menepati objektif bagi membantu pedagang tempatan," katanya.

Untuk mencapai matlamat CU International, syarikat akan membangun dan melaksanakan ekologi perkongsian global CU Rewards secara berturut-turut di pelbagai negara di seluruh dunia dan berusaha untuk memajukan jenama tempatan dan penjualan antarabangsa.

Sebagai salah satu model perniagaan subversif e-dagang era baharu Malaysia, sistem CU Rewards akan dilancarkan di Singapura, Uzbekistan, China, Indonesia dan Thailand pada pertengahan tahun hadapan.

Aplikasi ini boleh di muat turun dengan mencari CU Rewards MY di Google Playstore.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 7:30 AM