PENGARAH Urusan Mondelez International Malaysia dan Singapura, James Kane.
PENGARAH Urusan Mondelez International Malaysia dan Singapura, James Kane.

MONDELEZ International akan terus melaksanakan pelaburan terhadap jenama dan saluran perniagaanya termasuk perancangan untuk memperbaiki sistem e-dagang.

Pengarah Urusan Mondelez International Malaysia dan Singapura, James Kane berkata, tumpuan pihaknya masih terhadap tiga keutamaan strategik dan tujuan jangka panjang.

"Kami akan mengambil peluang untuk melakukan pergeseran taktikal jangka pendek seperti yang diperlukan ini termasuk usaha dengan lebih giat untuk menjadikan pemusatan konsumer sebagai asas kepada pemikiran kami dalam membuat keputusan.

"Selain itu, kami akan mencari lebih banyak alternatif dalam pemasaran, mewujudkan nilai dalam rantaian bekalan dan meningkatkan pulangan pelaburan kami.

"Kami juga akan memastikan pekerja mempunyai kebolehan secara menyeluruh untuk berjaya, kesederhanaan dalam membuat keputusan dan ketangkasan untuk bertindak balas terhadap keadaan pasaran," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan hingga sekarang, pihaknya melihat keperluan masyarakat terhadap makanan dan snek sentiasa tinggi dari masa ke masa.

"Ia dapat dilihat dengan ketara apabila semua digalakkan untuk berada di rumah sepanjang masa.

"Makanan dan snek menjadi satu asas kepentingan bagi masyarakat dalam mengharungi kehidupan seharian di rumah.

"Kami begitu positif industri makanan akan menjadi lebih maju terutama selepas banyak sektor perniagaan sudah dibuka," katanya.

James berkata, secara global, pandemik Covid-19 memusnahkan ekonomi dan punca kepada semua cabaran yang dihadapi semua negara dan pengguna.

Beliau berkata, Mondelez International juga menghadapi lonjakan permintaan yang terlalu tinggi di sesetengah negara dan pada beberapa kategori seperti biskut.

"Kami juga perlu cekap dalam menggunakan sumber yang ada dalam menguruskan cara normal baharu dan dalam masa sama perlu menangani kekurangan permintaan di bahagian lain," katanya.

Antara jenama di bawah kelolaan Mondelez International adalah Cadbury, Oreo, Belvita, Tiger, Ritz dan Toblerone.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 7:01 AM