NURHIDAYAH bersama produk keluarannya, biskut Cadbreo.
NURHIDAYAH bersama produk keluarannya, biskut Cadbreo.
Oleh Rosyahaida Abdullah


PENGUSAHA makanan kudapan, Cadbreo Enterprise menyasar untuk tampil dengan beberapa variasi biskut keluarannya dalam tempoh tiga tahun lagi berbekalkan pertambahan kakitangan dalam tempoh terdekat.

Pemiliknya, Nurhidayah Hairom berkata, ketika ini, beliau masih memberi tumpuan kepada produk sulung iaitu biskut Cadbreo yang mengetengahkan keunikan emping jagung disalut coklat premium.

Katanya, sebelum ini, produk itu dipasarkan secara sambilan pada 2013 dan diberi tumpuan lebih serius sejak tahun lalu.

Ia mendapat sambutan cukup menggalakkan namun jumlah tenaga kerja mengekang perancangan untuk meningkatkan kapasiti serta variasi pengeluaran.

Disebabkan itu katanya, perancangan untuk menambah kakitangan sedang diusahakan disokong oleh penggunaan mesin gaul bersaiz besar.

"Pada peringkat awal memang Cadbreo hanya dipasarkan pada musim perayaan khususnya Aidilfitri namun, sekitar tiga tahun lalu saya mula menjual meliputi luar musim raya.

"Alhamdulillah, secara purata sebanyak 100 balang terjual setiap bulan dengan bantuan dua kakitangan di mana jumlah itu sudah cukup optimum mengikut perkakasan yang ada.

"Disebabkan itu, bagi meningkatkan kapasiti penghasilan dan menambah variasi, antara keutamaan untuk diambil kira adalah menambah kakitangan.

"Antara variasi yang saya fikir relevan untuk dirancang buat masa ini adalah dengan mengeluarkan Cadbreo berperisa strawberi dan menggunakan coklat putih.

"Pada masa sama, saya juga sedang mempertimbangkan pembelian mesin gaul yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan perniagaan memandangkan ketika ini proses menggaul dilakukan secara manual sepenuhnya, ia agak memakan masa," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, baru-baru ini.

Nurhidayah berkata, beliau mengakui pasukannya agak kecil jika dibandingkan dengan pengusaha seumpamanya yang lain.

Susulan itu, beliau juga giat memperkukuh jenama 'Cadbreo' dalam kalangan pembeli akhir serta ejen di seluruh negara supaya strategi peluasan pasaran dapat dijayakan lebih cepat.

"Ketika ini, ejen tetap Cadbreo hanya ada di Lembah Klang dan Johor. Tentunya antara perancangan saya adalah untuk menambah bilangan ejen sekurang-kurangnya di setiap negeri," katanya.

"Saya alu-alukan sesiapa yang berminat untuk menjadi ejen dengan sasaran menjelang lima tahun lagi penjualan 200 balang secara konsisten setiap bulan dapat direalisasikan," katanya.

Menjadi antara penerima Geran Khas Prihatin berjumlah RM3,000 yang diumumkan Perdana Menteri untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro menjana semula perniagaan masing-masing, jelas Nurhidayah, wang itu digunakan untuk tujuan modal perkakasan berkaitan dalam mengembangkan perniagaan.

"Alhamdulillah, syukur dan terima kasih sangat atas bantuan ini. Ia memang sangat membantu untuk saya laburkan bagi perkakasan yang lebih baik untuk mudahkan proses membuat biskut.

"Ia juga sedikit sebanyak melegakan apabila jumlah jualan biskut 'cadbreo' saya pada Aidilfitri lalu tidak begitu tinggi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:58 AM