PESERTA  Program Sehari Bersama Delivery Services OdaMakan dan Getrunner di Pejabat Empower ECER Ketereh.
PESERTA Program Sehari Bersama Delivery Services OdaMakan dan Getrunner di Pejabat Empower ECER Ketereh.
Hazira Ahmad Zaidi


SYARIKAT penghantar OdaMakan membuka peluang kepada pengusaha makanan terutama mereka di luar bandar untuk menggunakan aplikasinya sebagai platform mempromosikan produk.

Pegawai Pembangunan Pemasaran OdaMakan, Nurul Shahada Mr Mama berkata, OdaMakan diperkenalkan Disember tahun lalu dan kini ada 2,400 vendor dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah.

Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, penghantar tidak menang tangan menguruskan pesanan pelanggan sekali gus memberi peluang kepada pengusaha terutama suri rumah menjana pendapatan apabila makanan dihasilkan dimuat naik dalam aplikasi OdaMakan.

"Aplikasi OdaMakan selaras hasrat kerajaan mahu penggunaan teknologi dimaksimumkan bagi menjana pendapatan dalam situasi normal baharu selain memastikan jarak sosial dan kurang interaksi langsung seperti saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Peniaga atau penjaja yang memperoleh lebih 30 pesanan sehari meraih pendapatan berlipat kali ganda dalam sehari bergantung kekerapan promosi dilakukan," katanya selepas Program Sehari Bersama Delivery Services, OdaMakan dan Getrunner di pejabat Empower ECER Ketereh di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengalaman Produk OdaMakan, Sabani Abdullah.

Nurul Shahada berkata, bagi tujuan penghantaran pula, ada 300 penghantar makan di Kelantan dan caj penghantaran RM4 bagi empat kilometer pertama manakala, tambahan RM1 untuk kilometer seterusnya dengan radius maksimum sejauh 10 km.

"Kami menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan ini setanding syarikat e-hailing lain seperti GrabFood dan Food Panda, namun dalam masa sama perkhidmatan ini dikembangkan dengan menjalinkan usaha sama dengan Empower ECER," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program empower ECER- Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM), Surain Kanda berkata, peserta Empower ECER memberi maklum balas baik dan terus mendaftar dengan OdaMakan bagi membabitkan diri dalam perkhidmatan penghantaran makanan.

"Selepas Empower ECER Ketereh, usaha ini diteruskan ke daerah lain bagi membolehkan peserta mempelajari promosi cara digital untuk terus maju ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:20 AM