KERAJAAN menyasarkan 400,000 pekerja ekonomi gig berdaftar dengan Perkeso. - FOTO Aswadi Alias
KERAJAAN menyasarkan 400,000 pekerja ekonomi gig berdaftar dengan Perkeso. - FOTO Aswadi Alias
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


INDIVIDU yang terbabit dalam ekonomi gig dilihat kurang kesedaran untuk mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) walaupun bayaran dibuat oleh penyedia platform dan kerajaan melalui Penjana Gig.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan memperkenal Penjana Gig bagi memastikan golongan ini dapat bekerja dalam jaringan keselamatan sosial.

"Di bawah inisiatif Penjana Gig, beberapa sesi libat urus dijalankan bersama sektor pertanian, penjaja, pengangkutan penumpang, barangan dan makanan serta lebih 38 penyedia platform perkhidmatan gig.

"Menurut Perkeso, kesedaran masih kurang dan sejak Januari 2020 hingga kini, hanya tujuh peratus atau 28,425 pekerja ekonomi gig berdaftar daripada sasaran 400,000 pekerja," katanya dalam Laporan Laksana ke-12 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di laman Facebooknya, semalam.

Menurutnya, kerajaan berharap lebih ramai pekerja mencarum dengan Perkeso untuk mendapat perlindungan Penjana Gig.

"Dengan bayaran RM232.80 setahun, kerajaan membayar 70 peratus (RM163) manakala 30 peratus (RM69.80) ditampung penyedia platform.

"Oleh itu, kalau tuan-tuan dan puan-puan menaiki Grab atau buat tempahan makanan dengan FoodPanda, tanya pekerja gig itu – "Dah mencarum dengan Perkeso ke belum?" Kalau dah, beri mereka rating lima bintang," katanya.

Menurutnya, beliau berkesempatan berjumpa pekerja dan majikan menerima manfaat program Penjana Gig serta keselamatan sosial itu.

"Alhamdulillah, penerimaan bantuan amat baik dan dapat membantu mengurangkan beban aliran tunai perniagaan, serta menyelamatkan pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 6:00 AM