KETUA Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy.
KETUA Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy.

PETRON Malaysia mengadakan peraduan Jom Bantu dengan ganjaran dianggar bernilai RM240,000 yang terdiri daripada wang tunai, baucar barangan runcit dan mata ganjaran Petron Miles bermula 1 Julai hingga 30 September 2020.

Menerusi peraduan itu, 30 pelanggan Petron berpeluang memenangi hadiah utama dan membawa pulang RM2,000 wang tunai, baucar barangan runcit bernilai RM2,000 dan mata ganjaran Petron Miles bernilai RM1,000.

Manakala 300 lagi ahli Petron Miles pula berpeluang memenangi mata ganjaran Petron Miles bernilai hingga RM300.

Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada semua pihak dalam pelbagai bentuk.

"Peraduan Jom Bantu adalah cara kami untuk menunjukkan keprihatinan terhadap pelanggan kami. Ini juga peluang untuk kami untuk mengucapkan terima kasih dan memberi penghargaan kepada pelanggan atas kepercayaan dan sokongan mereka," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pelanggan akan mendapat penyertaan secara automatik dengan setiap pembelian minyak terkumpul berjumlah RM50 menggunakan kad Petron Miles.

"Kami menawarkan nilai yang terbaik kepada pelanggan melalui kad Petron Miles. Dengan menggunakan kad ini, mereka berpeluang untuk memenangi banyak ganjaran yang menarik selain mengumpul mata PMiles," katanya.

Katanya, pemenang akan dipilih setiap bulan dari lima kawasan – Lembah Klang, Selatan, Utara, Pantai Timur, serta Sabah dan Sarawak dalam masa tiga bulan.

Semua pemenang akan diumumkan setiap bulan melalui laman sosial media Petron Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 7:30 AM