MUSTAPA dalam program Agenda Awani yang membincangkan tajuk Fasa Pemulihan, Jana Semula Ekonomi Negara.
MUSTAPA dalam program Agenda Awani yang membincangkan tajuk Fasa Pemulihan, Jana Semula Ekonomi Negara.

KERAJAAN belum memuktamadkan cadangan yang dikemukakan supaya gelembung perjalanan (travel bubble) dilaksanakan dengan negara-negara jiran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, ini memandangkan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memutuskan cadangan berkenaan.

"Cadangan ini sudah dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi.

"Namun kerajaan belum membuat keputusan kerana ia membabitkan negara-negara tertentu dan ada perkara yang perlu kita perlu lakukan secara dua hala sebelum kita buat pengumuman," katanya dalam program Agenda Awani yang membincangkan tajuk Fasa Pemulihan, Jana Semula Ekonomi Negara yang disiarkan saluran televisyen Astro Awani malam tadi.

Mustapa ditanya sama ada kerajaan akan mengikut rancangan New Zealand-Australia dan negara-negara Eropah yang melaksanakan gelembung perjalanan dalam memulihkan sektor pelancongan seterusnya ekonomi.

Bagaimanapun, rancangan New Zealand-Australia itu dilaporkan mungkin tidak dapat direalisasikan ekoran jangkitan Covid-19 baharu.

Australia juga dilaporkan tidak akan membuka semula sempadannya kepada pelancong antarabangsa sehingga tahun depan.

Antara negara Asean, Indonesia dan Thailand dikatakan berminat untuk membuka semula perjalanan rentas sempadan.

Gelembung perjalanan adalah usaha menghubungkan semula negara-negara atau negeri-negeri yang telah mencapai tahap kejayaan yang baik dalam membendung wabak Covid-19 di peringkat domestik.

Pendekatan ini membenarkan kumpulan negara atau negeri menawarkan semula hubungan perdagangan antara satu sama lain, serta memulakan kembali sektor seperti pelancongan dan perjalanan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 7:01 AM