TONY bersama  Kamarudin (tengah) dan Dr Ronald  ketika  ketika sidang media di Majlis Pelancaran OURFARM di Jabatan Pertanian Serdang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TONY bersama Kamarudin (tengah) dan Dr Ronald ketika ketika sidang media di Majlis Pelancaran OURFARM di Jabatan Pertanian Serdang. FOTO Mohd Fadli Hamzah

AIRASIA Group Bhd yang kini beroperasi pada kapasiti penuh bercadang menambah lebih banyak penerbangannya pada Julai ini sejajar peningkatan permintaan untuk perjalanan udara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, permintaan untuk perjalanan udara meningkat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan perjalanan rentas negeri.

"Penambahan penerbangan dibuat berdasarkan permintaan sejajar pelonggaran kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.

"Kami ikut garis panduan kerajaan. Kami beroperasi pada kapasiti penuh dan menambah penerbangan apabila ada permintaan untuk itu," katanya ketika mengulas mengenai operasinya susulan pelaksanaan PKPP.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran e-dagang perniagaan-ke-perniagaan (B2B), Ourfarm di Serdang, kelmarin.

Pelancaran platform e-dagang itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Pada Mac lalu, Kumpulan AirAsia melaksanakan penggantungan sementara untuk hampir semua penerbangan dalam rangkaiannya berikutan sekatan perjalanan oleh beberapa negara akibat pandemik Covid-19.

Langkah berkenaan dipersetujui syarikat penerbangan yang dikendalikan di bawah Kumpulan AirAsia dan Kumpulan AirAsia X.

Namun, bermula 29 April lalu, ia menyambung semula penerbangan domestik terpilih berdasarkan kelulusan kerajaan negara ia beroperasi.

Operasi di Thailand dan Filipina dimulakan sejak 1 Mei lalu, diikuti India (4 Mei) dan Indonesia (7 Mei).

Bagi penerbangan ke destinasi antarabangsa, ia disambung semula secara berperingkat, apabila keadaan bertambah baik dan sehingga sekatan perjalanan ditarik balik kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 7:10 AM