DR Ronald (kanan) melihat sayur ketika mengadakan lawatan selepas Majlis Pelancaran Ourfarm di Jabatan Pertanian Serdang.
DR Ronald (kanan) melihat sayur ketika mengadakan lawatan selepas Majlis Pelancaran Ourfarm di Jabatan Pertanian Serdang.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUMPULAN AirAsia menceburi rantaian perniagaan baharu berasaskan pertanian dengan memperkenalkan platform e-dagang, Ourfarm yang menghubungkan petani terus kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Ourfarm ditubuhkan dengan kerjasama strategik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) dan menyokong lebih 1,000 petani kontrak kerajaan serta pemilik ladang swasta.

Katanya, platform itu langkah pertama kumpulan meningkatkan pendapatan petani dengan menghapuskan kos orang tengah dan menyediakan sokongan logistik.

"Dengan platform baharu ini kami yakin ia membantu banyak perniagaan kecil dengan mengurangkan kos perolehan hasil segar hingga 25 peratus apabila mereka boleh berhubung terus dengan pengeluar pertanian.

"Kami belajar daripada pengalaman menjalankan perniagaan katering dalam penerbangan dan Kafe Santan yang baru dilancarkan apabila kami juga menghadapi cabaran harga tinggi untuk bahan segar.

"Sebagai permulaan, Ourfarm meliputi kawasan Lembah Klang dan diperluas ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak secara berperingkat serta mengembangkannya ke seluruh rantau ini.

"Kami juga memanfaatkan ekosistem AirAsia yang merangkumi kemampuan kargo, logistik dan pembayaran dengan pangkalan data perniagaan dan pengguna sedia ada," katanya selepas pelancaran Ourfarm di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 7:15 AM