PERMOHONAN pertama bagi TSFRF berjumlah RM100 juta ditutup pada 31 Mei lalu.
PERMOHONAN pertama bagi TSFRF berjumlah RM100 juta ditutup pada 31 Mei lalu.
Sri Ayu Kartika Amri

MALAYSIA Debt Ventures Berhad (MDV) akan membuka fasa kedua permohonan program pembiayaan Technology Start-Ups Funding Relief Facility (TSFRF) bermula 8 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, memandangkan dana di bawah program pembiayaan ini masih berbaki, fasa kedua permohonan akan dibuka dua minggu bermula 8 sehingga 21 Jun 2020.

Katanya, permohonan pertama bagi TSFRF yang berjumlah RM100 juta ditutup 31 Mei lalu.

Sepanjang tempoh itu, MDV menerima 49 permohonan di bawah program pembiayaan TSFRF dengan dana pembiayaan dipohon berjumlah antara RM1 juta dan RM2.5 juta daripada pelbagai sektor teknologi termasuk teknologi maklumat (ICT), e-dagang, logistik, Teknologi Kewangan (Fintech), data raya, perubatan, aplikasi berkaitan hartanah, dan kenderaan elektrik (EV).

"Jurang masa di antara kedua fasa ini bagi memberi laluan kepada jawatankuasa khusus TSFRF menjalankan proses saringan ke atas setiap permohonan," katanya dalam kenyataan.

"Ini bagi memastikan MDV dapat memenuhi jangka waktu pemprosesan yang lebih singkat di bawah program pembiayaan ini dan memastikan pembayaran dapat dilakukan tepat pada masanya bagi permohonan yang berjaya.

"Kesemua permohonan akan disaring berdasarkan tiga kriteria utama iaitu kedudukan strategik syarikat dalam sektor berkaitan, potensi perkembangan syarikat di peringkat serantau atau global serta kedudukan syarikat yang kompetitif," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, antara faktor yang akan diambil kira adalah pengurusan, sokongan pelabur modal teroka, pendapatan dan pertumbuhan pendapatan, nilai perusahaan, peluang pasaran dan daya saing.

"Apabila proses saringan selesai, setiap permohonan juga perlu melalui proses penilaian kredit oleh MDV.

"Sejumlah besar syarikat membuat permohonan di bawah program ini adalah syarikat yang mempunyai asas kukuh dan model perniagaan berdaya maju dengan hasil pendapatan purata sekitar RM100,000 hingga RM700 juta dan penilaian syarikat di antara RM5 juta hingga RM500 juta," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, disebabkan oleh keadaan ekonomi dan perniagaan semasa, syarikat ini memerlukan sokongan aliran tunai segera bagi memastikan perniagaan mereka dapat terus bertahan serta berkembang, dan bagi tujuan inilah program pembiayaan TSFRF ini telah diwujudkan.

Program pembiayaan TSFRF ditawarkan dalam bentuk modal kerja dan pembangunan perniagaan bermatlamat menyediakan bantuan aliran tunai segera, berpatutan dan bersasar kepada syarikat pemula teknologi yang disokong oleh syarikat modal teroka atau agensi kerajaan, yang terjejas oleh keadaan ekonomi semasa dan sedang menghadapi kekangan kewangan.

Program ini juga menyasarkan pembiayaan bagi 40 hingga 60 syarikat pemula teknologi untuk menangani masalah kekangan kecairan yang dihadapi melalui penawaran kemudahan modal kerja bagi mengurangkan isu aliran tunai pada masa hadapan.

Kemudahan ini ditawarkan dengan kadar faedah sebanyak 3.5 peratus setahun ke atas jumlah pinjaman tertunggak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 7:20 AM