PENIAGA runcit dan borong mula menerima guna digital dan e-dagang dalam pelan perniagaan mereka.
PENIAGA runcit dan borong mula menerima guna digital dan e-dagang dalam pelan perniagaan mereka.

PENIAGA runcit dan borong bukan saja mula menerima guna digital dan e-dagang dalam pelan perniagaan mereka malah aliran ini jelas ketara dan memberangsangkan pada 2019, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan indeks runcit dalam talian tahunan, sektor ini mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan apabila meningkat daripada 10.5 peratus pada suku pertama 2019 kepada 23.8 peratus pada suku pertama 2020.

"Ekonomi kita sudah bergerak dengan pesat, dengan sumbangan perdagangan borong dan runcit meningkat secara memberangsangkan," katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian semalam.

Pada 2018, sektor perdagangan dan peruncitan mencatatkan pendapatan RM92 bilion berbanding RM62.4 bilion yang dicatatkan pada 2015 iaitu pertumbuhan sebanyak 13.8 peratus.

Nilai jualan runcit secara dalam talian melonjak kepada RM1.2 bilion pada 2018 daripada RM300 juta pada 2013.

Beliau berkata, pertumbuhan pesat dalam sektor ini membuktikan pendapatan boleh guna rakyat Malaysia juga meningkat tahun demi tahun dan kini lebih baik berbanding negara setaraf yang lain.

"Sektor peruncitan ialah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dan berdasarkan kajian yang sudah dijalankan, kita berada di landasan yang betul," katanya.

Mohd Uzir juga berkata, beberapa sektor seperti kedai barangan kayu, jualan barangan alat tulis, buku dan surat khabar serta jualan barangan bijih besi dan logam separa siap adalah antara industri meleset yang dikenal pasti.

Jualan runcit tekstil, makanan, ejen surat khabar, jualan runcit makanan pula dikategorikan sebagai industri demi kelangsungan.

"Disebabkan pendapatan yang semakin menguncup, sektor-sektor ini memerlukan bantuan terutama daripada segi pembayaran sewa premis kerana sebahagian besar kos operasi mereka adalah untuk membayar sewa," katanya.

Berdasarkan Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019, purata keuntungan kasar pertubuhan mikro terutama bagi peniaga runcit tekstil, alat permainan, rekod muzik dan video serta buah-buahan dan sayuran adalah sebanyak RM4,360 sebulan, malah penguncupan pendapatan industri ini didorong perubahan gaya hidup dan teknologi.

Sementara itu, berdasarkan statistik sektor perdagangan borong dan runcit yang dikumpulkan daripada Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019 untuk tahun rujukan 2018, Malaysia mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.27 trilion pada 2018.

Beliau berkata dari segi teknologi maklumat dan komunikasi, 89.6 peratus pertubuhan menggunakan komputer dalam sektor ini iaitu dengan 84.0 peratus menggunakan Internet dan 52.2 peratus menggunakan web presence.

"Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang tertinggi dicatatkan oleh Kuala Lumpur, manakala Selangor merekodkan pendapatan e-dagang tertinggi, iaitu RM44.2 bilion," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 7:00 AM