Tengku  Zafrul
Tengku Zafrul

KEMENTERIAN Kewangan meluluskan peruntukan RM2.1 bilion untuk 258,165 majikan yang mewakili 1.9 juta pekerja melalui Program Subsidi Upah.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan berkenaan diluluskan sehingga 10 Mei lalu.

"Kerajaan berharap agar subsidi upah ini dapat membantu syarikat untuk terus mengekalkan seramai mungkin pekerja masing-masing sekurang-kurangnya sehingga bulan Jun.

"Ini boleh membantu mengekalkan kapasiti sedia ada sekurang-kurangnya pada tahap 50 peratus agar kita bersedia untuk menyusuri gelombang pemulihan ekonomi kelak.

"Jika kapasiti di tahap yang terlalu rendah, kita perlu membuat peruntukan yang lebih tinggi untuk menambah kapasiti berkenaan," katanya pada sesi pembentangan Laporan Laksana Kelima Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) melalui siaran langsung di Facebooknya, semalam.

Program ini adalah untuk membantu pekerja berpendapatan RM4,000 ke bawah.

Bagi majikan yang memiliki pekerja lebih 200 orang, mereka akan menerima subsidi RM600 untuk setiap pekerja manakala majikan yang mempunyai 75 hingga 200 pekerja akan menerima RM800 untuk setiap pekerja.

Bagi majikan yang memiliki 75 pekerja ke bawah, akan diberi subsidi RM1,200 setiap pekerja.

Sementara itu, sehingga 10 Mei lalu, kementerian turut menerima 13,690 permohonan bagi Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi caruman KWSP majikan.

"Saya ingin menekankan bahawa bukan mudah untuk memproses puluhan ribu permohonan dan saya memohon sedikit kesabaran daripada majikan.

"KWSP dan agensi kerajaan lain perlu meneliti setiap permohonan panangguhan caruman KWSP majikan satu persatu.

"Walaupun pengalaman Covid-19 ini tidak pernah kita alami, ini tidak bermakna kita boleh meluluskan apa saja permohonan dengan sewenang-wenangnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 7:10 AM