TESCO sasar raih RM200,000 daripada Tabung Kiriman Ikhlas.
TESCO sasar raih RM200,000 daripada Tabung Kiriman Ikhlas.
Nurul Hidayah Bahaudin


TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd bekerjasama dengan Mondelez International dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Food Aid Foundation (FAF) memberikan bantuan dalam bentuk Tabung Kiriman Ikhlas pada Ramadan dan Aidilfitri.

Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco Azliza Azmel berkata, RM1 akan disalurkan ke Tabung Kiriman Ikhlas bagi setiap pembelian RM30 mana-mana produk Tesco Own Brand dan RM30 produk jenama Mondelez terpilih di semua cawangan Tesco di seluruh negara, Tesco Online Lazada dan Shopee.

Katanya, dana dikumpulkan akan ditukarkan kepada makanan termasuk beras, minyak masak, tuna, keropok krim, bijirin, susu, madu dan campuran minuman segera untuk diedarkan kepada penerima bantuan FAF di seluruh Semenanjung sepanjang April hingga Julai ini.

"Secara kolektif, kami berhasrat untuk mengumpul RM200,000 daripada Tabung Kiriman Ikhlas yang akan menyediakan makanan asas untuk diedarkan kepada lebih 3,000 penerima FAF.

"Sumbangan ini juga bersamaan lebih daripada 150,000 hidangan makanan untuk mereka yang memerlukan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Inisiatif Tabung Kiriman Ikhlas adalah bersempena dengan kempen Raya Jimat, Raya Selamat Tesco yang berlangsung hingga 30 Julai ini.

Azliza berkata, Tesco turut menyumbang makanan dan barang keperluan bernilai lebih RM120,000 untuk menyokong komuniti dan keluarga kurang bernasib baik serta kehilangan sumber pendapatan ketika ini.

"Kami juga menghulurkan bantuan kepada barisan hadapan kesihatan, pihak berkuasa tempatan, pelarian dan haiwan di zoo selain tempat perlindungan haiwan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat dan Kerajaan Mondelez Raja Zalina Raja Safran berkata, kolaborasi itu memungkinkan pihaknya untuk terus bekerjasama dengan FAF selain memulakan kolaborasi baharu dengan Tesco.

"Di Mondelez International, tujuan kami adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk makan dengan betul.

"Kami dipandu prinsip untuk melakukan perkara betul, bukan hanya untuk pekerja dan pengguna tetapi juga untuk komuniti tempat kami beroperasi.

"Selama ini, kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan NGO yang dapat membantu menjangkau masyarakat yang memerlukan. Sehingga kini, kami menyumbang ribuan tan biskut dan coklat untuk pusat pemindahan dan komuniti yang terjejas akibat Covid-19 di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah bekerjasama dengan FAF sejak dua tahun lalu untuk mengagihkan semula stok lebihan bagi disalurkan ke rumah kebajikan dan golongan memerlukan.

Pengasas FAF Rick Chee berkata, lebih banyak inisiatif yang disokong korporat seperti Tabung Kiriman Ikhlas diperlukan untuk mereka yang kurang bernasib baik.

"Mereka yang bergantung pada gaji harian atau sementara adalah lebih terbeban ketika ini ditambah dengan kesulitan kewangan sedia ada.

"Pada masa ini, operasi bank makanan melihat peningkatan permintaan yang besar. Sebagai sebuah organisasi bukan keuntungan, kami memerlukan pelbagai sokongan untuk memenuhi peningkatan permintaan untuk bekalan makanan dalam kalangan masyarakat kurang berkemampuan.

"Perkongsian seperti yang kita ada dengan Tesco dan Mondelez untuk Tabung Kiriman Ikhlas terbukti memberi keuntungan pada masa krisis seperti ini dan diharap syarikat lain juga dapat membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 7:30 AM