PESAWAT dilengkapi dengan Hepa standard hospital akan melalui prosedur pembasmian kuman secara menyeluruh selepas setiap penerbangan.
PESAWAT dilengkapi dengan Hepa standard hospital akan melalui prosedur pembasmian kuman secara menyeluruh selepas setiap penerbangan.

AIRASIA akan menyambung semula penerbangan domestik terpilih yang dijadualkan seawal 29 April ini tertakluk kepada kelulusan kerajaan negara ia beroperasi.

Presiden (Syarikat Penerbangan) Kumpulan AirAsia, Bo Lingam berkata, penerbangan domestik akan disambung semula bermula dengan Malaysia pada 29 April, diikuti Thailand dan Filipina (1 Mei), India (4 Mei) dan Indonesia(7 Mei).

Katanya, bagi penerbangan ke destinasi antarabangsa pula, ia akan disambung semula secara berperingkat, apabila keadaan bertambah baik dan sehingga sekatan perjalanan ditarik balik oleh kerajaan.

“Penerbangan yang tersedia boleh ditempah melalui laman web airasia.com dan aplikasi mudah alih sekarang. Pelanggan juga boleh menggunakan akaun kredit mereka untuk menebus penerbangan ini.

“Maklumat lanjut mengenai laluan lain dan jadual penerbangan akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang, tertakluk kepada kelulusan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, AirAsia mengemas kini prosedur pengendalian pelanggan secara menyeluruh daripada pelepasan sehingga dalam penerbangan berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, syarikat itu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk memastikan bahawa semua langkah pencegahan yang disarankan dilakukan untuk memastikan perjalanan yang selamat dan selesa untuk semua.

“Kami berbesar hati untuk menyambung semula penerbangan dan perkhidmatan kami kepada pelanggan bermula dengan laluan domestik dan berharap untuk kembali beroperasi sepenuhnya secepat mungkin.

“AirAsia mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelanggan dan kakitangan kami. Justeru, kami bekerjasama secara aktif dengan semua pengawal selia, kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan.

“Kami juga mematuhi panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan standard tertinggi dalam setiap penerbangan,” katanya.

Bo berkata, pelanggan turut dinasihatkan untuk mengamalkan langkah perlindungan yang disyorkan secara universal termasuk memakai penutup muka, penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri.

“Semua pesawat yang dilengkapi dengan Penapis Udara Kecekapan Tinggi (Hepa) standard hospital juga akan melalui prosedur pembasmian kuman secara menyeluruh selepas setiap penerbangan.

“Pelanggan turut dinasihatkan untuk menyemak Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan oleh AirAsia di airasia.com dan platform media sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 6:00 AM