SUKARELAWAN  Mercy Malaysia dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) di PKD Klang, semalam.
SUKARELAWAN Mercy Malaysia dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) di PKD Klang, semalam.

KERAJAAN melaksanakan enam daripada 10 langkah utama keseluruhan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Prihatin Tambahan bernilai RM260 bilion setakat 12 April lalu.

Mengumumkan perkara itu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, enam langkah utama itu membabitkan jumlah RM180 bilion atau terdiri daripada 69 peratus daripada nilai keseluruhan Pakej Prihatin.

Katanya, ia membabitkan pelaksanaan moratorium bayaran pinjaman institusi perbankan berjumlah RM100 bilion dan kemudahan i-Lestari iaitu pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 bilion.

“Selain itu, subsidi upah dilaksana Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM13.8 bilion dan pengurangan kadar minimum caruman pekerja KWSP (RM10 bilion).

“Bantuan Prihatin Nasional (RM10 bilion) dan Kemudahan Bantuan Khas (Special Relief Fund) disediakan Bank Negara Malaysia berjumlah RM5 bilion,” katanya dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej Prihatin di Facebook beliau, semalam.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, perancangan empat lagi langkah utama yang bernilai RM66 bilion atau 25 peratus daripada keseluruhan nilai Pakej Prihatin akan mula dilaksanakan menjelang 1 Mei ini, selaras dengan jadual pelaksanaan yang dirancang.

“Empat langkah terbabit ialah kemudahan skim jaminan pinjaman oleh Danajamin berjumlah RM50 bilion dan Program Khidmat Rundingan Majikan oleh KWSP bagi membantu memberi penjimatan aliran tunai majikan sebanyak RM10 bilion.

“Projek kerajaan berskala kecil untuk memanfaatkan kontraktor kecil (RM4 bilion) dan Geran Prihatin Khas untuk PKS mikro sebanyak RM2.1 bilion,” katanya.

Beliau turut berkongsi kisah di sebalik tabir mengenai Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) yang bergegas menjalankan tugasan pemantauan, koordinasi dan komunikasi antara agensi nasional yang terbabit untuk memastikan pelaksanaan semua inisiatif dan bantuan berjalan dengan lancar sebaik saja pakej Prihatin & Prihatin Tambahan diumumkan.

Tujuan Laksana ditubuhkan katanya, adalah untuk meneliti, memantau dan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan sampai ke setiap peringkat rakyat dan memanfaatkan golongan akar umbi.

“Hasil sinergi antara Laksana dengan institusi dan agensi pelaksana seperti BNM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), KWSP, Perkeso dan Bank Simpanan Nasional, kami menyaksikan bantuan utama seperti Bantuan Prihatin untuk Teksi, Pemandu Pelancong dan Penarik Beca, Bantuan untuk Isi Rumah dan Individu Bujang B40 dan M40, Bantuan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), langkah-langkah Prihatin Tambahan seperti subsidi upah, SRF dan sebagainya berjaya dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 7:36 AM