PAKEJ Bantuan Peniaga Shopee dibuka untuk permohonan bermula dari 13 April hingga 31 Mei ini.
PAKEJ Bantuan Peniaga Shopee dibuka untuk permohonan bermula dari 13 April hingga 31 Mei ini.
Sri Ayu Kartika Amri

PLATFORM e-dagang, Shopee menawarkan pakej Bantuan Peniaga Shopee bernilai RM15 juta yang dijangka dapat dimanfaatkan 70,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pakej Bantuan Peniaga Shopee ini membantu PKS dan perniagaan tempatan dalam pelbagai sektor termasuk peruncitan, hasil segar, makanan dan minuman dan banyak lagi  dengan memacu pendigitalan perniagaan tradisional dan membawa perniagaan dalam talian.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, Bantuan Peniaga Shopee bertujuan mewujudkan impak jangka panjang yang positif walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

   “Semua usaha kami, sama ada yang baharu mahupun lama memaparkan komitmen kami sejak hari pertama dalam memajukan usahawan tempatan dan ekonomi digital Malaysia.

  “Kami memahami negara ini melalui masa yang sukar sekarang dan kami berharap usaha ini dapat membantu PKS tempatan mengatasi kerugian dalam hasil luar talian, memperbaiki aliran tunai dan yang paling penting, mengekalkan perniagaan mereka,” katanya.

   Pakej ini bertujuan menyokong semua peniaganya dengan mewujudkan peluang jualan dan pertumbuhan, mengurangkan kos operasi dan memudahkan pembangunan mampan melalui pembiayaan, subsidi dan pendidikan.

  Pakej Bantuan Peniaga Shopee ini dibuka untuk permohonan bermula 13 April 2020 hingga 31 Mei 2020.

   Ian berkata, pakej ini membantu menangani masalah dihadapi perniagaan berikutan pendekatan antara Shopee dan persatuan runcit, dewan perniagaan serta pemilik perniagaan.

   “PKS mencari saluran jualan baharu seperti e-dagang, tetapi tidak biasa dengan cara melakukannya.

   “PKS ini mahukan rakan kongsi yang dapat memberi mereka panduan langkah demi langkah yang jelas, untuk memastikan mereka berjaya dalam perjalanan penjualan dalam talian mereka,” katanya.

Untuk maklumat lanjut Pakej Bantuan Peniaga Shopee, layari  http://shopee.com.my/supportpackage.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 6:55 AM