PENGGANTUNGAN  sementara bagi penerbangan AirAsia Malaysia (AK)  bermula dari 28 Mac hingga 21 April depan.
PENGGANTUNGAN sementara bagi penerbangan AirAsia Malaysia (AK) bermula dari 28 Mac hingga 21 April depan.

KUMPULAN AirAsia melaksanakan penggantungan sementara untuk hampir semua penerbangan dalam rangkaiannya berikutan sekatan perjalanan oleh beberapa negara akibat pandemik wabak Covid-19.

Kumpulan AirAsia dalam kenyataan berkata, langkah itu dipersetujui syarikat penerbangan dikendalikan di bawah Kumpulan AirAsia dan Kumpulan AirAsia X.

Katanya, Kumpulan akan terus mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan kakitangannya.

“Kami memainkan peranan dalam membantu usaha kerajaan yang mengenakan sekatan perjalanan dan perintah kawalan pergerakan termasuk perintah kuarantin di rumah untuk mencegah penyebaran virus dan menjadikan penerbangan lebih selamat untuk semua.

“Kami akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia untuk memulakan penerbangan kami secepat mungkin apabila keadaan bertambah baik dan tertakluk kepada kelulusan daripada pihak kawal selia,” katanya.

Menurutnya, semua penumpang yang terjejas akan segera dimaklumkan melalui e-mel dan SMS.

Mereka mempunyai pilihan menukar tempahan penerbangan kepada akaun kredit yang boleh ditebus dalam masa 365 hari kalendar atau menukar kepada tarikh baharu tanpa had dan bayaran sebelum 31 Oktober 2020.

Bagi penerbangan di bawah AirAsia Malaysia (AK), penggantungan sementara ini membabitkan laluan antarabangsa dan domestik dari 28 Mac hingga 21 April 2020.

Bagi AirAsia X Malaysia (D7) yang hanya mengendalikan laluan antarabangsa, ia menggantung hampir semua perjalanan dari 28 Mac hingga 31 Mei 2020.

AirAsia Indonesia (QZ) pula mengurangkan jumlah penerbangan antarabangsa dan laluan domestik masih beroperasi namun dengan kurang kekerapan.

Bagi AirAsia Filipina (Z2), penggantungan sementara membabitkan semua penerbangan dari 20 Mac hingga 14 April 2020 berikutan tempoh kuarantin komuniti di Luzon dan kawasan lain di negara berkenaan.

AirAsia Thailand (FD) pula menggantung penerbangan antarabangsa dari 22 Mac hingga 25 April 2020 dan laluan domestik masih beroperasi dengan kekerapan rendah.

AirAsia India pula menggantung semua laluan dari 25 Mac selama 21 hari berikutan pengumuman kerajaan India untuk menggantung semua laluan domestik di India.

Bagi AirAsiaX Thailand, semua penerbangan digantung sementara waktu dari 16 Mac lalu selama tiga bulan.

Dalam pada itu, katanya dalam usaha menguruskan dan menampung kos perniagaan, ahli pengurusan kanan dan kakitangan kanan Kumpulan AirAsia bersetuju menerima potongan gaji antara 10 dan 15 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 7:20 AM