Teknologi terkini dan pelaksanaan Revolusi Perindustrian 4.0  diperlukan untuk mengecilkan jurang maklumat harga, jenis hartanah, lokasi, kekurangan dan lain-lain lagi. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Teknologi terkini dan pelaksanaan Revolusi Perindustrian 4.0 diperlukan untuk mengecilkan jurang maklumat harga, jenis hartanah, lokasi, kekurangan dan lain-lain lagi. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

SEKTOR hartanah kediaman dijangka tidak terjejas teruk akibat penularan Covid-19, seperti yang berlaku dalam sektor pelancongan atau pelaburan langsung asing, menurut PropertyGuru.

Walaupun Malaysia mungkin menyaksikan penyusutan pembeli asing dari Hong Kong dan China dan penangguhan projek menerusi rantaian bekalan susulan Covid-19, pasaran hartanah Malaysia tidak menerima impak secara langsung, katanya.

“Ini disebabkan kebanyakan pemaju memberi tumpuan membina kediaman dalam lingkungan harga mampu milik,” kata Pengurus Negara bagi PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez.

Beliau berkata, banyak jualan hartanah di negara ini disumbang segmen mampu milik.

Bagaimanapun, pemaju dan pemilik bagi keseluruhan industri ini memberi harapan sederhana mengenai sektor ini memandangkan industri kini menyesuai susulan Kempen Pemilikan Kediaman yang berakhir selain kekurangan pemangkin kukuh tahun ini, katanya memetik dapatan Indeks Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia (MPMI) dalam laporan suku pertama 2020.

Dalam laporan itu, keseluruhan MPMI negara merosot 1.04 mata indeks daripada 89.94 pada suku ketiga 2019 kepada 88.90 pada suku keempat 2019, yang mewakili penyusutan jangka panjang.

Pelarasan ini sejajar semakan semula kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) dan tumpuan ke atas Belanjawan 2020 terhadap skim sewa untuk beli (RTO), sekali gus menjadikan sektor hartanah di Malaysia pasaran bagi pembeli dalam masa terdekat.

Pada Januari, BNM menurunkan OPR 25 mata asas kepada 2.75 peratus iaitu paras terendah dalam tempoh sembilan tahun berbanding 3.25 peratus Mei tahun lalu.

“Harga diminta mencatat penurunan sejak suku keempat 2016, sekali gus menjadikan kos pemilikan rumah turut rendah. Selain itu, pengurangan OPR pada kebiasaannya menyebabkan kadar faedah rendah bagi pinjaman dan peningkatan jangka pendek untuk kelulusan. Jadi, ini masa sesuai untuk pencari hartanah,” katanya.

Fernandez berkata, pada masa ini, ada kekurangan dalam kebolehcapaian dan keterlihatan maklumat mengenai permintaan dan penawaran di pasaran hartanah.

Teknologi terkini dan pelaksanaan Revolusi Perindustrian 4.0 diperlukan untuk mengecilkan jurang maklumat harga, jenis hartanah, lokasi, kekurangan dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata, buletin BNM bagi suku ketiga 2019 melaporkan 72 peratus daripada pinjaman perumahan yang ditolak untuk pembelian rumah yang harganya nyata jauh di luar kemampuan pemohon jika dibandingkan dengan paras pendapatan mereka.

Kadar kelulusan pinjaman pada masa ini hampir 75 peratus.

“Ini faktor mengapa teknologi hartanah memainkan peranan penting kerana ia dapat membantu menyediakan data terkini serta semakan ke atas pertanyaan mengenai hartanah diperlukan.

“Selain mempunyai Sistem Siasatan Hartanah Tidak Terjual Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Hartanah Malaysia (UPESM) sebagai rujukan, permohonan seperti semakan kredit, semakan rumah PMI dihasilkan PropertyGuru membantu rakyat Malaysia membuat keputusan bermaklumat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 6:30 AM