KAMARUL Ariffin
KAMARUL Ariffin
HM Bisnes

AFFIN Bank Berhad (AFFINBANK) menerima pengiktirafan Pengalaman Pelanggan Digital Terbaik dalam Perbankan PKS oleh Digital CX Award 2020 yang juga pengiktirafan keempat diperoleh bagi perkhidmatan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFINBANK, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, perkhidmatan SMEColony terus mendapat perhatian dan menerima pengiktirafan industri.

“Antara ciri utama SMEColony adalah untuk mewujudkan sinergi perniagaan di antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bank dan rakan niaga yang memupuk pembabitan melalui platform digital.

“Ini sejajar dengan misi kami dalam memenuhi keperluan PKS melalui penyelesaian yang unik dan mesra pelanggan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, perbankan PKS di AFFINBANK akan terus menyokong keseluruhan kitaran ekosistem perniagaan komuniti berkenaan.

“Ekosistem ini turut meliputi syarikat pemula niaga dan kami akan menjadi rakan utama sepanjang perjalanan perniagaan mereka ke arah berstatus PKS dan ke peringkat seterusnya,” katanya.

Anugerah Digital CX mengiktiraf Organisasi Perkhidmatan Kewangan terkemuka di dunia yang menggabungkan teknologi dan inovasi yang terbaik dengan usaha untuk memberi pengalaman pelanggan dalam industri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:10 AM