PENINGKATAN harga saham itu adalah selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan menjual 7.92 juta saham dalam AAGB.
PENINGKATAN harga saham itu adalah selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan menjual 7.92 juta saham dalam AAGB.
BERNAMA

SAHAM AirAsia Group Bhd (AAGB) dan syarikat sekutunya AirAsia X Bhd meningkat dalam dagangan aktif hari ini selepas merekodkan aliran menurun sebelum ini susulan laporan berita yang mendakwa syarikat penerbangan tambang rendah itu menerima rasuah AS$50 juta daripada pembuat pesawat, Airbus.

Peningkatan harga saham itu adalah selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan menjual 7.92 juta saham dalam AAGB.

Menurut dua kenyataan berasingan di Bursa Malaysia, dana persaraan itu menjual 7.43 juta saham AAGB pada 28 Januari 2020 diikuti penjualan seterusnya sebanyak 492,500 saham pada hari berikutnya.

KWSP bagaimanapun terus memegang 210.4 juta saham mewakili 6.29 peratus kepentingan dalam syarikat itu selepas penjualan berkenaan.

Pada 5 petang, harga saham AAGB ditutup tinggi naik satu sen kepada RM1.16 dengan 192.53 juta saham bertukar tangan, manakala saham AirAsia X meningkat setengah sen kepada 12.0 sen dengan 33.87 juta saham diniagakan.

Sebelum ini AirAsia telah menafikan dakwaan rasuah terbabit.

Dalam kenyataan kelmarin, Datuk Kamarudin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes mendakwa AirAsia tidak pernah dihubungi walaupun sekali oleh Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom sepanjang siasatan selama empat tahun berhubung skandal Airbus itu untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

Mereka berkata, ini adalah pelanggaran yang jelas ke atas prinsip perundangan asas bagi kesaksamaan dan akses kepada keadilan.

“Kami menafikan semua dakwaan salah laku atas peranan kami sebagai eksekutif dan pengarah di AirAsia,” katanya.

Isnin lalu, kedua-dua mereka turut melepaskan jawatan eksekutif masing-masing dalam kumpulan itu, berkuat kuasa serta-merta susulan siasatan rasuah Airbus SE oleh pihak berkuasa Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) Devanesan Evanson dilaporkan menggesa Kamaruddin dan Fernandes supaya melepaskan jawatan dalam lembaga pengarah syarikat penerbangan tambang rendah itu sementara siasatan dijalankan.

Beliau berkata, ini memandangkan situasi itu boleh menimbulkan keadaan tidak senang dan ketegangan di peringkat lembaga pengarah kerana mereka masih ahli lembaga pengarah syarikat.

Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, AirAsia X menubuhkan jawatankuasa lembaga pengarah yang terdiri daripada ahli bukan eksekutif, khusus untuk mengkaji semula dakwaan terhadap AirAsia X.

AirAsia X berkata, jawatankuasa itu akan melaksanakan sebarang langkah yang perlu berdasarkan semakan semula itu termasuk pelantikan pakar bebas.

“Kemas kini mengenai pengumuman itu akan dibuat sebaik saja pelantikan itu dimuktamadkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 8:47 PM