USAHAWAN dapat menentukan kaedah dan lokasi aktiviti promosi dan jualan perlu dilakukan berdasarkan maklumat pelanggan yang dikumpul.
USAHAWAN dapat menentukan kaedah dan lokasi aktiviti promosi dan jualan perlu dilakukan berdasarkan maklumat pelanggan yang dikumpul.
BERNAMA

USAHAWAN perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu lebih giat mengumpulkan dan memanfaatkan data raya untuk memacu pertumbuhan perniagaan mereka di era teknologi dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) .

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (Insken), Muhd Firdaus Azharudin berkata, walaupun pengumpulan data raya kedengaran canggih namun ia boleh dilakukan usahawan PKS dan peniaga kecil menerusi kaedah paling ringkas iaitu menggunakan buku nota dan pen.

“Ramai usahawan tidak kumpul data pelanggan masing-masing. Ia boleh dilakukan dengan bermodalkan buku nota dan pen, usahawan hanya perlu tanya maklumat asas seperti nama, umur, jantina, nombor telefon, alamat e-mel, status ekonomi dan sosial selain paling penting sebab memilih membeli produk dijual.

“Berdasarkan maklumat ringkas itu usahawan dapat menambah baik produk dan perkhidmatan atau mengeluarkan produk dan perkhidmatan baharu sekali gus mengurangkan risiko dan juga kos,” katanya di sini, baru-baru ini.

Muhd Firdaus
Muhd Firdaus

Beliau berkata, data berkenaan juga membolehkan peniaga mengenal pasti golongan pengguna yang lebih cenderung membeli produk mereka. Justeru, usahawan dapat menentukan kaedah dan lokasi aktiviti promosi dan jualan yang perlu dilakukan.

Insken Business Outreach 2020 dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Rodziah Ismail.

Insken agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Kira-kira 500 usahawan menyertai program sehari itu.

Muhd Firdaus berkata, Insken Business Outreach 2020 mengetengahkan topik berkaitan IR 4.0 iaitu pengurusan dan penjanaan pendapatan melalui maklumat pelanggan.

Beliau berkata, objektif utama adalah memberi pendedahan kepada usahawan dan peluang belajar menggunakan data pelanggan daripada pakar dalam bidang berkaitan selain menggalakkan usaha mengenai kepentingan penggunaan data pelanggan seiring IR 4.0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 7:15 AM