HARGA hartanah di Malaysia sukar dikurangkan disebabkan pelbagai faktor.
HARGA hartanah di Malaysia sukar dikurangkan disebabkan pelbagai faktor.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin

RAKYAT Malaysia berhak menentukan harga kediaman yang ingin dimiliki bagi merancakkan sektor hartanah tempatan, kaedah sama yang dipraktikkan di kebanyakan negara Eropah.

Pengarah Urusan CH Williams Talhar & Wong Sdn Bhd (WTW), Foo Gee Jen berkata, sudah tiba masanya pembeli diberikan hak melakukan tawar-menawar dengan pemaju untuk setiap kediaman yang ditawarkan.

“Beberapa negara maju di Eropah sudah lama mempraktikkan kaedah ini di mana sebagai contoh di London, wujud proses tawar-menawar setiap unit kediaman yang dijual oleh pemaju. Di sana tiada harga tetap termasuk hartanah baharu dilancarkan.

“Di Malaysia, kita masih menggunakan kaedah take it or leave it, di mana pemaju memiliki hak mutlak ke atas hartanah yang dijual, menjadikan hanya mereka yang benar-benar berkemampuan memiliki hartanah diingini,” katanya selepas taklimat unjuran pasaran hartanah 2020, semalam.

Foo berkata, sebagai contoh, pembeli boleh mengemukakan harga yang dikehendaki lebih rendah daripada harga asas yang ditetapkan pemaju sehingga ia mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

“Di London, pembeli memiliki kuasa menentukan harga apabila membeli secara berkumpulan. Contohnya, satu unit kediaman dijual pada harga RM200,000 seunit, tetapi pembeli mengemukakan tawaran RM180,000. Mungkin pemaju tidak bersetuju pada peringkat permulaan.

“Ia tidak merugikan pembeli jika harga berkenaan tidak dipersetujui. Untuk tempoh tertentu, pemaju mahu unit hartanah dijual dengan cepat dan mereka perlu setuju dengan tawaran pembeli. Jadi setiap kumpulan pelanggan akan menerima harga yang berbeza,” katanya.

Foo berkata, harga hartanah di Malaysia sukar dikurangkan disebabkan pelbagai faktor termasuk kebergantungan kepada buruh asing dan pemaju kurang memilih teknologi sistem binaan berindustri (IBS), kos pematuhan dan premium tanah yang tinggi.

“Kos pematuhan yang perlu dibayar oleh pemaju termasuk kepada syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Indah Water Konsortium (IWK) serta Telekom Bhd adalah tinggi membabitkan 15 hingga 25 peratus daripada harga kediaman dan ia akan diserap dalam harga hartanah.

“Seperti kos pematuhan, premium tanah yang tinggi turut membebankan pasaran. Ini adalah soal dasar di mana kerajaan boleh mengubahnya bagi memastikan rakyat mampu memiliki kediaman pada harga lebih rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 7:00 AM