MOHAMED Azmin Ali bercakap ketika Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). FOTO: Eizairi Shamsudin
MOHAMED Azmin Ali bercakap ketika Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). FOTO: Eizairi Shamsudin
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Nabil Basaruddin


KUALA lUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) sudah melaksanakan mandat sebagai syarikat pengurusan dana dengan baik meskipun dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) mencatatkan prestasi agihan pendapatan terendah sejak 1990.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, apa yang penting adalah berkenaan isu tadbir urus supaya PNB terus melaksanakan pelaburannya dengan penuh ketelusan dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, meskipun ASB memberikan pulangan yang rendah kepada pemegang unitnya, namun ia membabitkan pembayaran berjumlah RM9 bilion.

“Meskipun pembayaran pendapatan rendah, ia membabitkan jumlah sehingga RM9 bilion yang perlu dibayar kepada pemegang unit. Ia bukan satu jumlah yang kecil.

“Dengan mengambil kira faktor dan keadaan pada ketika ini, PNB sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan pendeposit dan pemegang unit mendapat pulangan yang baik pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas sesi perbimcangan bertajuk 'Pengagihan Kekayaan - Kemakmuran Bersama’ sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai prestasi ASB yang diumumkan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) membabitkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi ASB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Pembayaran pendapatan itu adalah terendah sejak ASB diperkenalkan pada 1990.

Jumlah pengagihan berjumlah RM9.0 bilion itu akan memanfaatkan 10 juta pemegang unit yang memiliki 167.2 bilion unit dalam ASB.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, pihak pengurusan PNB yang baharu juga sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan tadbir urus dan akauntabiliti sentiasa kekal menjadi teras dalam pasukan baharu itu.

“Tidak dapat dinafikan dividen ASB yang diumumkan baru-baru ini turut terkesan daripada prestasi pasaran tempatan dan global yang mencabar.

“Sekali lagi, saya ingin tekankan mereka sentiasa melakukan yang terbaik dalam menjadikan tadbir urus dan akauntabiliti yang baik dalam menguruskan syarikat pengurus dana terbesar di Malaysia ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 4:55 PM