DARELL (empat dari kanan) bersama penerima e-Trade Exporters Awards 2019, semalam.
DARELL (empat dari kanan) bersama penerima e-Trade Exporters Awards 2019, semalam.
Oleh Nabil Basaruddin


KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berharap pelaburan dari China dapat ditingkatkan pada tahun hadapan menerusi rangsangan khas dalam Belanjawan 2020.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Oktober lalu, satu saluran khas akan diwujudkan bagi menarik lebih banyak pelaburan dari China di bawah seliaan InvestKL.

Menteri MITI, Datuk Darell Leiking berkata, meskipun terdapat penurunan bagi pelaburan dari China pada sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, pihaknya yakin saluran khas itu dapat menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan dari negara itu pada 2020.

”Pada masa sama, pelaburan dari negara lain menunjukkan perkembangan yang semakin baik seperti jumlah pelaburan dari Amerika Syarikat (AS).

“Untuk membantu merancak dan merangsang kembali pelaburan dari China, kerajaan melalui Belanjawan 2020 secara khusus akan memperkenalkan satu saluran khas bagi menarik lebih banyak pelaburan dari China,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari e-Dagang 2019 di sini, semalam.

Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan China ke Malaysia berkurangan kepada AS$1.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tahun lalu.

Malah, pelaburan dari AS pula melonjak tujuh kali kepada AS$5.9 bilion yang mencerminkan peralihan pelaburan kesan daripada perang dagang antara Beijing dan Washington.

Sementara itu, mengulas mengenai Hari e-Dagang 2019 itu, Darell berkata, melalui platform e-dagang, perniagaan dan pengguna mempunyai kaedah baharu dalam meneroka lebih banyak peluang serta penawaran dalam pasaran global.

Menurutnya, e-dagang kini mula memberi sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia sekali gus menjadikannya sebagai satu sektor yang begitu penting sekali.

“Seperti yang kita lihat, segmen e-dagang mengubah transaksi komersial antara pembeli dan peniaga sekali gus menjadikan beli-belah kini menjadi lebih mudah.

“Malah, berdasarkan data terkini, 200,940 perniagaan dalam talian sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta lebih 20,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan platform Go eCommerce di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 8:59 AM