Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) akan terus memacu portfolio segmen perusahaan kecil dan sederhananya (PKS) dengan sasaran jumlah aset RM2.26 bilion menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, ketika ini portfolio pembiayaan PKS Bank Islam berjumlah RM2.1 bilion dengan pembiayaan PKS menyumbang empat peratus kepada jumlah keseluruhan pembiayaan bank itu dan menyumbang tiga peratus kepada jumlah asetnya.

Katanya, jumlah keseluruhan pembiayaan Bank Islam kini berjumlah RM50 bilion, manakala asetnya berjumlah RM65 bilion.

“Setakat Oktober 2019, Bank Islam meluluskan pembiayaan PKS RM782.5 juta di mana RM701 juta adalah untuk PKS Bumiputera daripada nilai RM1 bilion diperuntukkan tahun ini.

“Jumlah ini pembiayaan paling tinggi ditawarkan Bank Islam berbanding RM500 juta disalurkan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, sejak tahun lalu, pihaknya memberi penekanan serius terhadap pengembangan dalam segmen pembiayaan PKS dengan menyediakan produk khusus.

“Antaranya ialah pembiayaan berjangka dikenali SME Biz GROW, pembiayaan untuk wanita, Bank Islam WinBiz, pembiayaan untuk Start-Up dan pembiayaan untuk vendor Petronas, Tenaga Nasional Bhd dan Sarawak Energy Bhd,” katanya.

Selain itu, Divisyen Perbankan PKS Bank Islam menyediakan rancangan tiga tahun (2020-2022) untuk mengembangkan kapasiti dan keupayaan dengan membuka lebih banyak Hab PKS baharu seluruh negara.

Menurutnya, selain itu pihaknya akan mewujudkan pejabat wilayah PKS bagi setiap wilayah, menambah baik proses dan produk PKS sedia ada serta menawarkan produk PKS baharu berdasarkan permintaan pasaran.

“Kami akan terus memacu portfolio pembiayaan untuk memperkukuhkan kedudukan Bank Islam di pasaran dengan memberi tumpuan kepada pelanggan PKS bersaiz kecil dan sederhana.

“Ia termasuklah membabitkan usaha seperti memperkenalkan pembiayaan khusus untuk pelanggan pemilikan tunggal dan perkongsian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 8:15 AM