Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia buat kali pertama menawarkan Lazada Wallet yang boleh digunakan di kedai luar talian terpilih sempena jualan 12.12.

Ketua Pegawai Perniagannya, Kevin Lee berkata, di Lazada pihaknya komited membawakan yang tebaik kepada pelanggan dengan memberi pengalaman terkini melalui konsep New Retail.

Katanya, pelanggan kini boleh menikmati pelbagai tawaran diskaun sehingga 90 peratus daripada 12 rakan jenama Lazada yang mengambil bahagian di beberapa lokasi seperti Sunway Pyramid, Pavilion, Low Yat, Sunway Velocity, Lot 10 dan pelbagai lagi.

“Dengan peluasan capaian Lazada Wallet, kami dapat mempamerkan kebolehan teknologi pembayaran kami di samping mengetengahkan konsep gabungan perniagaan di luar dan dalam talian.

“Malah, sejak Lazada Wallet diperkenalkan tahun lalu, kami menyaksikan peningkatan memberangsangkan bagi pelanggan yang menggunakan kaedah pembayaran ini,” katanya selepas pelancaran Lazada Wallet Luar Talian Jualan 12.12, semalam.

Bermula 12 hingga 13 Disember ini, pelanggan Lazada boleh menggunakan Lazada Wallet untuk membeli baucar tunai dengan harga 50 peratus lebih rendah untuk digunakan semasa pembelian di kedai luar talian jenama terpilih di LazMall dari 14 hingga 15 Disember ini.

Selain itu, Lazada Wallet boleh digunakan untuk membayar baki jumlah pembelian di kedai luar talian terbabit di sekitar Lembah Klang untuk menikmati diskaun tambahan 12 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 10:26 AM