PELANCARAN #MalaysiaKerja disempurnakan Dr Mahathir. Hadir sama, Dr Wan Azizah, Guan Eng dan Syed Saddiq.
PELANCARAN #MalaysiaKerja disempurnakan Dr Mahathir. Hadir sama, Dr Wan Azizah, Guan Eng dan Syed Saddiq.
Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Mahanum Abdul Aziz


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bertanggungjawab menguruskan peruntukan RM6.5 bilion di bawah inisiatif #MalaysiaKerja akan memperkenalkan Akaun 3 khusus untuk mereka yang layak di bawah inisiatif itu paling awal hujung suku kedua 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, akaun baharu itu diwujudkan bagi membolehkan lebihan insentif gaji #MalaysiaKerja dikreditkan ke dalam akaun KWSP individu yang layak di bawah program berkenaan.

Beliau berkata, pengenalan insentif gaji itu akan membantu golongan sasaran #MalaysiaKerja menikmati pendapatan boleh guna yang tinggi sepanjang program itu berlangsung memandangkan caruman berkanun sudah ditolak daripada insentif gaji itu.

“Penubuhan Akaun 3 ini adalah untuk menguruskan lebihan insentif gaji bagi mereka yang layak. Pengeluaran Akaun 3 ini boleh dibuat pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran #MalaysiaKerja di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 (ISWC) di sini, semalam.

Pelancaran #MalaysiaKerja disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Hadir sama, Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Tunku Alizakri berkata, pelaksanaan inisiatif #MalaysiaKerja menguntungkan golongan sasaran dan majikan, malah ia juga menjadi penyelesaian holistik untuk mewujudkan pekerjaan.

Beliau berkata, insentif pengambilan pekerja di bawah program itu akan mendorong kos pengambilan pekerja oleh majikan menjadi lebih rendah.

“Daripada perspektif KWSP, kami berpandangan kaedah ini amat menarik dan ia adalah penyelesaian bersifat holistik. Setahu saya, tiada negara lain di dunia yang melaksanakan penyelesaian ini,” katanya.

Inisiatif #MalaysiaKerja yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Inisiatif itu dibahagikan kepada empat golongan sasaran iaitu #GraduanKerja, #WanitaKerja, #WatanKerja dan #PerantisKerja, dengan mereka yang layak berpeluang menikmati insentif gaji sehingga RM500 dan insentif pengambilan pekerja sehingga RM300.

Insentif gaji di bawah #MalaysiaKerja akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP kecuali bagi program #PerantisKerja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 11:22 AM