GUAN Eng merasmikan CATA 2019, semalam.
GUAN Eng merasmikan CATA 2019, semalam.
Hadzlihady Hassan


GEORGETOWN: Pentadbir cukai di seluruh dunia wajar bekerjasama dan berkongsi maklumat bagi menangani isu pematuhan cukai dan menghalang aktiviti bayangan terutama ekonomi bayangan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ekonomi bayangan sukar diukur kerana kedudukannya dan ia sentiasa dikaitkan sama ada negara itu bersih atau korup.

Beliau berkata, pelbagai kajian menunjukkan saiz ekonomi bayangan dianggarkan antara 15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di negara maju dan enam peratus di negara membangun.

“Ekonomi bayangan di Malaysia dianggarkan sekitar 21 peratus daripada KDNK negara atau RM300 bilion.

“Sekiranya satu perlima hasil ekonomi bayangan dapat diserap ke sektor formal, ia boleh membawa kepada penambahan hasil negara antara RM5 bilion hingga RM15 bilion,” katanya selepas merasmikan Persidangan Teknikal Tahunan Persatuan Pentadbir Cukai (CATA) 2019, di sini, semalam.

Program selama empat hari itu disertai 150 delegasi dari lebih 20 negara anggota CATA seluruh dunia.

Persidangan ini bakal menjadi platform buat negara pentadbir cukai untuk memberi pendapat dan cadangan dalam merangka dasar serta gerak kerja bagi mendepani isu ekonomi bayangan dan cukai digital yang kian mencabar.

Lim berkata, pentadbir cukai perlu pantas bagi menangani isu-isu percukaian yang timbul disebabkan pembangunan pesat dalam teknologi pendigitalan.

“Undang-undang percukaian perlu dipinda selaras model perniagaan baharu ini supaya negara tidak kehilangan hak mencukai yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya berharap semua delegasi yang hadir memgambil peluang dalam persidangan ini bagi membincangkan isu-isu percukaian antarabangsa untuk kebaikan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 7:07 AM