AZMAN (kanan) menerima Anugerah Gangsa Anugerah Jenama Putra bagi kategori Pengangkutan, Perjalanan dan Pelancongan 2019. FOTO Facebook PLUS Malaysia
AZMAN (kanan) menerima Anugerah Gangsa Anugerah Jenama Putra bagi kategori Pengangkutan, Perjalanan dan Pelancongan 2019. FOTO Facebook PLUS Malaysia
BERNAMA

PLUS Malaysia Bhd (PLUS), dinobat pemenang Anugerah Gangsa Anugerah Jenama Putra bagi kategori Pengangkutan, Perjalanan dan Pelancongan 2019.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, kemenangan itu adalah kali keempat berturut-turut bagi PLUS, yang merupakan satu-satunya konsesi lebuh raya memenangi anugerah itu.

Selain PLUS, dua syarikat penerbangan, Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan AirAsia berjaya merangkul anugerah bagi kategori sama.

“Jika ingin dibandingkan dengan kemenangan dua syarikat penerbangan di mana keselamatan dan keselesaan penumpangnya yang tidak dapat dikompromi, kejayaan PLUS dalam memenangi gangsa empat tahun berturut-turut menceritakan komitmen kami terhadap nilai yang sama dan memastikan keselamatan pelanggan kami di sepanjang perjalanan mereka terjamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pemenang dipilih berdasarkan kaedah tinjauan ke atas 8,000 pengguna, yang memilih jenama kegemaran mereka dalam setiap kategori tertentu dan PLUS mendapat pilihan lebih 8,000 rakyat Malaysia.

“Anugerah ini bertujuan mengenal pasti jenama yang berhubung dengan pengguna melalui prestasi mereka, jenama pertama yang muncul di minda pelanggan serta sokongan dan penekanan Idea Bernilai Tinggi yang disalurkan kepada kejayaan sesebuah jenama,” katanya.

Anugerah Jenama Putra, yang dilancarkan pada 2010 oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dengan Anugerah Jenama Paling Bernilai Malaysia (MMVB), bertujuan mengiktiraf pembinaan jenama sebagai pelaburan perniagaan yang penting dan dinilai berdasarkan pilihan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 7:31 PM