WONG (dua dari kanan) menyempurnakan pelancaran cawangan COURTS Tawau, Khamis lalu.
WONG (dua dari kanan) menyempurnakan pelancaran cawangan COURTS Tawau, Khamis lalu.
Abdul Rahemang Taiming


TAWAU: COURTS Malaysia, peruncit terkemuka barangan elektrik, teknologi maklumat (IT) dan perabot terus mengembangkan operasinya di Sabah melalui pembukaan sebuah lagi cawangan baharu di Pusat Komersial Kubota Bintang, Khamis lalu.

Kewujudan cawangan kelima dengan keluasan lebih 9,000 kaki persegi itu, selepas Karamunsing, Papar, Keningau dan Semporna, mengukuhkan lagi kehadiran jenamanya di samping memberikan perkhidmatan kepada penduduk di negeri ini khasnya di kawasan pantai timur.

Ketua Pegawai Strategik Kumpulan COURTS Asia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif COURTS Malaysia, Dominic Wong berkata, pihaknya memilih membuka cawangan baharu di sini selepas melihat potensi pasaran yang besar di kawasan pantai timur Sabah seiring dengan kepesatan pembangunan ekonomi daerah Tawau.

Katanya, pihaknya juga merancang untuk meremajakan dan memperbaharui satu pertiga atau 15 daripada 54 cawangan di seluruh negara pada tahun ini.

“Kami yakin dan komited untuk mengukuhkan kehadiran di seluruh negara bagi memenuhi kehendak pengguna setiap hari yang menginginkan pelbagai jenis produk dengan nilai yang terbaik.

“Tahun ini kami melabur untuk merancakkan dan menaiktaraf rangkaian cawangan di seluruh negara sekali gus memberikan pengalaman membeli-belah yang hebat ke atas pelbagai barangan di bawah satu bumbung pada nilai serta perkhidmatan terbaik,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran cawangan COURTS Tawau, Khamis lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi COURTS Malaysia, Dolf Posthmunus, Pengarah Komersial, Low Bee Yin, Pengurus Kawasan, M Mahendran S Manikam dan Pengurus Cawangan, Ismail Zainal Abidin.

Sempena pembukaan cawangan baharu itu juga kata Wong, pihaknya melalui Program Rumah Amal COURTS turut memberikan sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Anak Yatim Islam, berupa kelengkapan rumah dan perabot seperti mesin basuh, peti sejuk, rak dan perkakas dapur dengan nilai keseluruhan berjumlah RM8,000.

“Pelanggan juga boleh turut sama memainkan peranan dengan mengambil bahagian dalam kempen Sumbangan Memupuk Perpaduan yang berlangsung selama setahun melalui pembelian beg tote kitar semula yang dijual pada harga RM5 di semua cawangan COURTS.

“Sehingga kini, COURTS Malaysia menyumbangkan lebih RM700,000 kepada lebih 120 rumah dan komuniti yang menerima manfaat melalui program Rumah Amal Courts,” katanya.

PENGUNJUNG menyerbu premis sempena pembukaan rasmi cawangan baharu Courts Malaysia di Tawau.
PENGUNJUNG menyerbu premis sempena pembukaan rasmi cawangan baharu Courts Malaysia di Tawau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 8:13 AM