NAZRI  (dua dari kiri) pada  majlis penyampaian hadiah Kempen Deposit Emas RHB, semalam. FOTO Syakirah Azhar
NAZRI (dua dari kiri) pada majlis penyampaian hadiah Kempen Deposit Emas RHB, semalam. FOTO Syakirah Azhar
Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam dalam Sistem Rujukan Maklumat Berpusat (CCRIS) masih berpeluang untuk mendapatkan pembiayaan sekiranya mereka berjaya meyakinkan institusi kewangan atau pihak bank.

Pemangku Ketua Perbankan Runcit RHB Banking Group, Nazri Othman berkata, golongan berkenaan masih mempunyai ruang untuk memohon pinjaman dari bank dengan syarat menyediakan dokumen seperti jadual pembayaran semula bersama PTPTN.

Katanya, pihaknya masih menerima serta melayan permohonan pembiayaan daripada mereka yang disenarai hitam oleh PTPTN, tetapi mereka wajib sertakan bersama jadual pembayaran semula.

“Ia adalah sebagai bukti untuk meyakinkan pihak pemberi pinjaman. Sekiranya ada, jadi permohonan mereka akan diproses dan dipertimbangkan.

“Sebenarnya, sebelum ini juga kami sudah melakukan perkara sama yang dilakukan oleh kerajaan, iaitu memberi peluang kepada golongan berkenaan selagi mereka dapat sediakan jadual pembayaran bersama PTPTN atau penstrukturan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Kempen Deposit Emas RHB, semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin baru-baru ini mengumumkan bahawa peminjam PTPTN yang disenarai hitam dalam CCRIS boleh membeli rumah pertama.

Zuraida berkata, pihaknya juga sudah merujuk kelulusan Bank Negara Malaysia yang meminta kementeriannya berbincang bersama pihak PTPTN.

CCRIS adalah sistem yang mengumpul semua maklumat kredit peminjam dan menjadi satu sumber maklumat digunakan institusi kewangan untuk membantu memeriksa sejarah kredit peminjam sedia ada atau bakal peminjam mereka.

Mengulas mengenai majlis penyampaian hadiah itu, Nazri berkata, seramai 45 pemenang untuk Kempen Deposit Emas RHB yang mana mereka menerima jongkong emas dengan berat antara 50 gram dan 1 kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 7:02 AM