HONDA Malaysia memperkenalkan model CR-V Mugen Edisi Terhad. FOTO ihsan Honda Malaysia
HONDA Malaysia memperkenalkan model CR-V Mugen Edisi Terhad. FOTO ihsan Honda Malaysia
Lizam Ridzuan


KUALA LUMPUR: Honda Malaysia memperkenalkan model CR-V Mugen Edisi Terhad yang dipertontonkan ketika Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS 2018) lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Toichi Ishiyama berkata, awal tahun ini mereka memperkenalkan dua edisi istimewa iaitu Jazz Mugen serta BR-V.

Katanya, berikutan maklum balas dan permintaan pasaran yang positif, Honda Malaysia turut memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) CR-V ini.

“Sebagai salah satu model paling laris, CR-V ialah kenderaan yang sesuai kepada pembeli berorentasikan keluarga untuk gaya hidup premium serta aktif,

“Melalui pengenalan edisi Mugen ini ia menawarkan rekaan lebih segar dan bergaya untuk segmen SUV bukan nasional nombor satu dalam pasaran tempatan yang terjual sebanyak 27,000 unit sehingga pertengahan tahun ini,” katanya.

CR-V varian ini dikuasakan enjin 1.5L VTEC Pengecas Turbo pacuan dua roda (2WD) yang menyamai tenaga dan prestasi 2.4 liter dilengkapi pelbagai ciri bantu pemandu termaju seperti Brek Parkir Elektrik (EPB), ‘Auto Brake Hold’ (ABH) dan pelbagai ciri keselamatan terbaik.

Rekaan luaran menerima kemasan sporty dengan ciri Mugen pada ‘Spoiler’ bahagian hadapan dan sisi, kemasan gril hadapan dan sisi, sayap atas belakang dan logo Mugen yang membezakannya dengan yang lain.

CR-V Mugen Edisi Terhad ini hanya ditawarkan sebanyak 300 unit dengan dua pilihan warna iaitu White Orchid Pearl dijual pada harga RM153,300 dan terbaharu Passion Red Pearl pada harga RM152,900.

Pelanggan yang memandu uji model CR-V di pusat pameran Honda di seluruh Malaysia berpeluang untuk memenangi hadiah eksklusif daripada bernilai sehingga RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 7:14 PM