Oleh Mahanum Abdul Aziz


KUALA LUMPUR: Kadar faedah pinjaman kenderaan dijangka turun sedikit susulan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan penanda aras pinjaman, Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Berdasarkan simulasi perkiraan yang dibuat AmBank Research, individu yang membeli kenderaan pada harga RM70,000 dengan pembayaran pendahuluan 10 peratus membabitkan tempoh pembayaran balik selama tujuh tahun berpeluang menikmati pengurangan bayaran balik RM13.12 sebulan susulan pengurangan OPR itu.

Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass berkata, penjimatan minimum itu dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap jualan kenderaan kerana penjimatan kecil itu dilihat tidak akan mendorong pengguna membeli kenderaan.

Beliau berkata, pihaknya percaya cabaran terbesar bagi pengguna membeli kenderaan adalah pembayaran pendahuluan 10 peratus.

“Kami percaya pengurangan kadar itu tidak menjadi perangsang bagi pertumbuhan dalam sektor automotif, tidak sama seperti cuti cukai tiga bulan pada 2018.

“Industri automotif Malaysia terus berdepan cabaran dengan masih diselubungi beberapa isu dan ia dijangka terus mencabar dalam persekitaran perniagaan kompetitif,” katanya dalam nota penyelidikannya di sini, semalam.

Sementara itu, MIDF Research melihat impak serampang dua mata susulan pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas terhadap industri automotif.

Lazimnya, ia berkata, pertumbuhan jumlah jualan kenderaan (TIV) mempunyai hubungan berlawanan dengan OPR.

“Kenaikan OPR mempunyai impak yang lemah terhadap pertumbuhan TIV dan sebaliknya jika OPR diturunkan, kadar sewa beli rendah,” katanya.

Bagaimanapun, MIDF Research berkata, meskipun potensi pengukuhan perbelanjaan pengguna dan potensi peningkatan terhadap unjuran TIV, margin pengusaha auto juga mungkin terjejas oleh ringgit yang berpotensi lebih lemah akibat penurunan OPR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 7:57 AM