PROJEK EV5 menawarkan kawasan binaan dari 2,404 kaki persegi.
PROJEK EV5 menawarkan kawasan binaan dari 2,404 kaki persegi.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Projek kendalian Sime Darby Property, Elmina Valley Five (EV5) di City of Elmina yang dilancarkan tahun ini berjaya mencatatkan pengambilan sehingga 90 peratus.

Ia meliputi pembangunan fasa pertama yang menawarkan 168 unit kediaman dilancarkan pada 23 Mac lalu dan fasa kedua yang dilancarkan pada 27 April dengan tawaran 205 unit kediaman.

Ia secara tidak langsung menjadikan pembangunan EV5 bagi kedua-dua fasa hampir habis dijual.

Ketua Pegawai Operasi bagi Pembangunan Perbandarannya, Datuk Wan Hashimi AlBakri Wan Ahmad Amin Jaffri berkata, ia adalah pencapaian yang baik dalam keadaan persekitaran pasaran yang mencabar.

“Pada peringkat awal, kami merancang untuk melancarkan hanya 113 unit untuk fasa kedua namun berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai, maka kami membuka jualan untuk semua unit bagi projek EV5 ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Fasa kedua EV5 menawarkan kediaman dua tingkat berangkai dengan kawasan binaan dari 2,404 kaki persegi dengan harga bermula dari RM850,399 (selepas rebat jualan dan sebelum diskaun Bumiputera).

Pembeli juga layak mendapat pengecualian duti setem untuk pembelian hartanah sehingga RM1 juta sebelum 30 Jun depan sebagai sebahagian daripada Kempen Pemilikan Rumah 2019 (HOC 2019).

Buat pertama kalinya, kediaman EV5 juga dilengkapi dengan FittingsPlus+, termasuk paip penyaman udara, pemanas air segera dan penapis air luaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 7:02 AM