Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan sedang merumuskan perjanjian tambahan dan sedang mencari opsyen lain tentang bagaimana untuk mengurangkan kos RTS. FOTO NSTP
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan sedang merumuskan perjanjian tambahan dan sedang mencari opsyen lain tentang bagaimana untuk mengurangkan kos RTS. FOTO NSTP
BERNAMA

MALAYSIA komited memastikan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru - Singapura diteruskan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Kami sedang merumuskan perjanjian tambahan bagi enam bulan dan sedang mencari opsyen lain tentang bagaimana untuk mengurangkan kos,” kata Loke pada sidang media bersama dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan selepas majlis sambutan pendaratan penerbangan sulung Firefly di Lapangan Terbang Seletar di Singapura, hari ini.

Kerajaan Malaysia pada awal bulan ini memohon pelanjutan enam bulan sehingga September daripada Singapura untuk membuat keputusan mengenai projek Rangkaian RTS.

Perjanjian dua hala mengenai Rangkaian RTS ditandatangani pada Januari 2018 semasa pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Projek itu pada awalnya dijadualkan dibina tahun ini dan dijangka siap pada Disember 2024.

Ia bertujuan untuk menangani kesesakan trafik harian antara kedua-dua negara.

Projek Rangkaian RTS akan meliputi laluan rel sepanjang 4km menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands, Singapura, dengan kapasiti membawa 10,000 penumpang sejam.

Sementara itu, Khaw berkata, perjanjian dua hala itu tidak menyediakan peruntukan bagi penangguhan iaitu tidak sepertimana projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

“Bagaimanapun, atas semangat hubungan dua hala, kami boleh lakukan beberapa pindaan.

“Langkah segera yang pertama ialah menyelesaikan, memuktamadkan dan menandatangani perjanjian tambahan yang boleh dilakukan dalam waktu terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 5:55 PM