ANTHONY (tengah) bersama Naib Presiden Operasi Asia Tenggara FedEx Express, Mark Shorney (kiri) dan Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, SC Chong (kanan) melancarkan stesen baharu FedEx Johor, semalam.
ANTHONY (tengah) bersama Naib Presiden Operasi Asia Tenggara FedEx Express, Mark Shorney (kiri) dan Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, SC Chong (kanan) melancarkan stesen baharu FedEx Johor, semalam.
BERNAMA

KERANGKA Perjanjian Operasi baharu dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang bakal dimuktamadkan Jun ini membolehkan pihak swasta bekerjasama dalam membangunkan infrastruktur dan fasiliti lapangan terbang di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dengan adanya kerangka baharu ini, pihak swasta boleh melabur dan bekerjasama dengan MAHB, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan.

“Model pembangunan lapangan terbang dahulu memerlukan peruntukan kerajaan. Apa yang kita galakkan ialah swasta memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan infrastruktur negara.

“Kita mahu MAHB mencari rakan strategik atau kerjasama untuk melabur dalam infrastuktur seperti pembesaran terminal, pemanjangan landasan. Kita harap ada perbelanjaan modal daripada swasta,” katanya selepas merasmikan Stesen FedEx Johor di sini, semalam.

Justeru itu, dengan mengkaji semula kerangka OA berkenaan, ia memberi fleksibiliti kepada pelabur membuat pelaburan dalam pengembangan lapangan terbang sekali gus dapat menyaksikan infrastruktur di 39 lapangan terbang yang dikendalikan MAHB, berkembang pesat.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan persetujuan bagi meluluskan permohonan MAHB untuk melanjutkan tempoh perjanjian operasi bagi mengoperasi, mengurus dan menyelenggara 39 buah lapangan terbang di bawah kendaliannya sehingga 11 Feb 2069.

Kerangka OA yag baharu akan dapat memberikan fleksibiliti kepada kerajaan dan MAHB dalam penyediaan peruntukan projek pembangunan lapangan terbang melalui beberapa model pembiayaan, ini sejajar dengan usaha kerajaan yang mahu menarik pelabur dari swasta.

Terdahulu, Loke turut meluangkan masa kira-kira sejam meninjau operasi di Lapangan Antarabangsa Senai, dekat sini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan kerajaan Selangor untuk menukar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, Loke berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi berhubung perkara itu.

Sebelum ini, penjenamaan semula KLIA dibangkitkan oleh Exco Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana Teng Chang Kim, untuk mencerminkan lokaliti KLIA yang terletak di daerah Sepang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 10:48 AM