SAIFUDDIN bersama Tony Fernandes menunjukkan sebahagian daripada produk tempatan pada majlis pelancaran Kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ di AirAsia RedQ, KLIA. -Foto Ahmad Irham Mohd Noor
SAIFUDDIN bersama Tony Fernandes menunjukkan sebahagian daripada produk tempatan pada majlis pelancaran Kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ di AirAsia RedQ, KLIA. -Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia bagi mempromosikan produk buatan Malaysia menerusi pelbagai platform pemasaran syarikat penerbangan itu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, pihaknya sudah mengenalpasti lebih 550 produk tempatan yang berpotensi untuk dipasarkan khususnya menerusi produk makanan dalam penerbangan; laman portal airasia.com dan laman e-dagang, OURSHOP DAN ROKKI.

Beliau berkata, produk yang terpilih nanti akan diletakkan di bawah jenama Santan dan T&CO iaitu jenama khusus milik syarikat penerbangan itu.

“Kami akan kenalpasti hanya usahawan yang berpotensi serta mampu mengeluarkan produk yang menetapi kehendak dan piawaian dikehendaki AirAsia.

“Kami berharap kerjasama ini akan memberi kelebihan kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk masing-masing ke luar negara termasuk menerusi pangkalan data penumpang AirAsia,” katanya ketika ditemui pada program kerjasama ‘Beli Barangan Malaysia’ antara KPDNHEP dan AirAsia di Sepang, hari ini.

Katanya, AirAsia pula akan berperanan menyediakan platform pemasaran kepada produk tempatan berkenaan termasuk pengecualian caj penyenaraian kepada produk yang terpilih kelak.

Saifuddin berkata, beliau berharap kerjasama ini akan memberi kelebihan dan nilai tambah kepada produk tempatan selain memberi sifat patriotisme kepada negara.

Menurutnya, kerajaan menerusi perbentangan Bajet 2019 lalu memperuntukkan RM20 juta untuk mempromosikan semula kempen Beli Barangan Malaysia dan kerjasama dengan AirAsia adalah satu inisiatif penting untuk mengembangkan inisiatif itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:57 PM