VINCENT Lim
VINCENT Lim
Sofyan Rizal Ishak


PAMERAN Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (HOMEDEC 2019) menampilkan kelainan dengan konsep penginapan singkat atau ‘short stay’ bagi memberi peluang kepada pemilik unit kediaman mencari idea untuk hartanah mereka.

Presiden CIS Network Sdn Bhd (CIS Network), Datuk Vincent Lim berkata, sebanyak dua unit ruang pameran contoh yang direka bersama HostAStay Berhad (HostAStay) dengan menggunakan produk yang ditawarkan eksklusif pada acara itu akan dipamerkan bagi memberi panduan bagaimana untuk memaksimumkan dan mencantikkan rumah melalui reka bentuk terbaik.

“Pada kali ini, ruang ini bukan sekadar sumber inspirasi bagi pemilik rumah malah, menjadi platform terbaik kepada rakan strategik kami iaitu HostAStay yang akan mengendalikan bengkel bagi memberi panduan kepada mereka yang berminat untuk menghias rumah dan menjana pendapatan sampingan.

“Apa paling penting, HOMEDEC 2019 adalah medan tepat untuk pengunjung sama ada yang memilik kediaman atau mereka yang menyewakan unit kediaman untuk menjana pendapatan tambahan,” katanya pada majlis pelancaran HOMEDEC 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, edisi kali ini disertai lebih 400 pemamer melalui 1,100 gerai yang mempamerkan produk, perkhidmatan, rekaan dan penyelesaian dalam reka bentuk serta pengubahsuaian rumah.

HOMEDEC 2019 dianjurkan oleh CIS Network dan ia kini sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula hari ini hingga 21 April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:53 PM