Nabil Basaruddin


MAXIS Berhad (Maxis) melancarkan perkhidmatan komersial pertamanya dikenali sebagai Narrowband-Internet of Things (NB-IoT) menawarkan penyelesaian berkaitan Internet Benda (IoT) dan mempromosikan pembangunan ekosistem tempatan.

Syarikat telekomunikasi itu turut mengaktifkan rangkaian NB-IoT di kawasan terpilih dalam pasaran IoT seperti Cyberjaya, Pulau Pinang, Kuching, Putrajaya, Johor Bahru dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Ketua Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata, sebagai sebahagian daripada pelancaran itu, Maxis juga akan menawarkan penyelesaian NB-IoT dan mempromosikan pembangunan ekosistem tempatan melalui perkongsian amalan terbaik global serta penyelesaian terbaik.

“Perniagaan kini dapat menggunakan aplikasi IoT perindustrian untuk membentuk aliran data yang baru yang membolehkan analisis dapat bertindak dengan peranti mudah seperti sensor.

“Terdapat banyak peluang pengunaan NB-IoT terutamanya di sekitar analisis data besar dan dalam membolehkan kes-kes penggunaan nyata,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

NB-IoT, rangkaian khusus untuk teknologi IoT, membawa keupayaan seperti 5G dan akan meningkatkan data besar selain membolehkan analisis data yang canggih.

Sebagai permulaan, Maxis akan memanfaatkan kolaborasi sedia ada dengan Vodafone menerusi akses kepada pengalaman syarikat itu di peringkat global dalam segmen NB-IoT di beberapa negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 3:06 PM